Suhakam bimbang Pota disalahguna

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Kesal dengan pelulusan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) yang diluluskan oleh Parlimen semalam meskipun terdapat keraguan di dalam beberapa peruntukannya; dan telah dirumuskan tanpa berunding dengan Suruhanjaya, demikian ujar Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, Tan Sri Hasmy Agam, dalam kenyataan medianya.

Suhakam juga berpendapat bahawa terdapat banyak peruntukan dalam Pota yang bercanggah dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, walaupun Malaysia memegang jawatan-jawatan berprestij di peringkat serantau dan antarabangsa, di mana terdapat jangkaan dalam peningkatan piawaian hak asasi manusia.

Yang berikut kenyataan penuh Suhakam:

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada permulaan berhasrat untuk menjelaskan bahawa hak asasi manusia, yang bersifat universal, tidak menentang keamanan dan keselamatan negara. Oleh itu, Suruhanjaya telah melafazkan dalam kenyataannya pada 28 November 2014, sokongannya terhadap pihak Kerajaan dalam usaha untuk memerangi ancaman keganasan dan ekstremisme yang semakin meningkat di Malaysia. Suruhanjaya telah menjelaskan bahawa mana-mana perundangan yang dicadangkan untuk memerangi keganasan haruslah bertujuan untuk mencegah tindakan radikal, mengukuhkan langkah-langkah pencegahan keganasan dan penyiasatan yang sedia ada, dan untuk menyediakan kawalan terhadap segala bentuk gangguan aktiviti pengganas.
 
Suruhanjaya juga menjelaskan bahawa undang-undang tersebut hendaklah betul dari segi kandungan, jelas, sah dan seimbang. Meskipun pihak Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa hak-hak rakyat dari segi perlembagaan dilindungi dengan mengambil langkah-langkah positif untuk menangani ancaman keganasan dan ekstremisme, Suruhanjaya sekali lagi menegaskan bahawa langkah-langkah tersebut tidak boleh mengancam hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang, serta menjejaskan prinsip-prinsip demokrasi.

Oleh yang demikian, Suruhanjaya kesal apabila Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) diluluskan oleh Parlimen pada hari ini meskipun terdapat keraguan di dalam beberapa peruntukannya; dan telah dirumuskan tanpa berunding dengan Suruhanjaya, yang mana di bawah Aktanya telah dimandatkan, antara lain “untuk menasihati dan membantu Kerajaan dalam merumuskan perundangan dan arahan dan tata cara pentadbiran dan mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil” yang berkaitan dengan hak asasi manusia. Suruhanjaya percaya bahawa terdapat banyak peruntukan dalam Pota yang bercanggah dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, walaupun Malaysia memegang jawatan-jawatan berprestij di peringkat serantau dan antarabangsa, di mana terdapat jangkaan dalam peningkatan piawaian hak asasi manusia.

Walaupun Suruhanjaya memperakui jaminan yang diberikan oleh Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri bahawa undang-undang tersebut tidak akan disalah guna atau digunakan untuk melenyapkan perbezaan pendapat politik, Suruhanjaya bagaimanapun bimbang dengan keabsahan dan implikasi hak asasi manusia dalam berberapa peruntukan di dalam Akta tersebut. Melihatkan kepada keseriusan langkah-langkah Pota dan keperluan pemerhatian yang sewajarnya, Suruhanjaya seterusnya akan mengemukakan laporan penuh kepada Kerajaan, selaras dengan mandatnya.

Walau bagaimanapun, melihatkan kebimbangan ini dan memandangkan beberapa peruntukan tertentu dalam Akta tersebut terlalu luas tanpa perlindungan yang memadai daripada penyalahgunaan kuasa, termasuk kekurangan pengawasan dan peruntukan yang tidak memuaskan untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti, Suruhanjaya ingin mengutarakan perkara berikut:

(a) Suruhanjaya beranggapan bahawa kekurangan pewakilan undang-undang terhadap orang yang dituduh semasa Inkuiri (seksyen 10(6)) dan juga peruntukan untuk penahanan tanpa jangkamasa dan tanpa perbicaraan sebagai perkara yang serius dan mencabul hak terhadap perbicaraan yang adil berdasarkan Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 10 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Suruhanjaya menegaskan bahawa hak kepada perbicaraan yang adil adalah mutlak dan tidak terhad. Tambahan pula, penahanan secara sewenang-wenangnya merupakan satu ancaman yang serius
kepada kebebasan dan untuk menikmati semua hak-hak asasi yang lain.

(b) Suruhanjaya kesal ketiadaan peluang hak untuk semakan kehakiman, kecuali bagi semakan perkara-perkara prosedur, yang mana merupakan satu penghinaan kepada hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan hak untuk mendapatkan keabsahan mengenai penahanan seseorang ditentukan oleh Mahkamah yang bebas dan berwibawa. Suruhanjaya juga bimbang dengan ketiadaan prosedur perlindungan yang diperlukan untuk mengelakkan penahanan yang menyalahi undang-undang, dan seterusnya berpendapat bahawa ini melanggar Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Dengan mengambilkira perkara diatas, Suruhanjaya sekali lagi menyeru pihak Kerajaan untuk komited dalam mendukung tanggungjawab hak asasi manusia antarabangsanya dan menggesa semakan ke atas Akta tersebut, dengan perundingan yang penuh dan bermakna dengan semua pihak yang berkepentingan, termasuk Suruhanjaya. Suruhanjaya berharap agar perundingan tersebut dapat memberi ruang untuk pertukaran dan mengemukakan pandangan dengan matlamat utama untuk menyelaraskan peruntukan dalam Akta tersebut dengan model undang-undang jenayah yang berorientasikan hak asasi manusia, untuk memastikan layanan yang adil dan berkadar bagi mana-mana orang yang dituduh.

Suruhanjaya sentiasa dan konsisten dalam menyeru agar perlindungan hak asasi manusia dan keselamatan awam haruslah menjadi pelengkap. Oleh itu, Pota perlu mematuhi tanggungjawab hak asasi manusia antarabangsa Malaysia.

Suruhanjaya oleh itu mengesyorkan agar pihak berkuasa membangunkan rangka kerja yang berkesan dan praktikal bagi penahanan, soal siasat dan perbicaraan bagi orang yang disyaki pengganas, yang dapat membantu pihak berkuasa untuk memanfaatkan agensi-agensi perisikan untuk melumpuhkan aktiviti orang yang disyaki pengganas.

Dalam apa jua keadaan, Suruhanjaya menyeru pihak Kerajaan memastikan bahawa kesemua peruntukan di dalam Akta tersebut adalah selaras dengan Artikel 7, 9, 10 dan 11 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan peruntukan Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ICCPR). – HARAKAHDAILY 8/4/2015

Share on Myspace