Pota: Jaminan menteri tidak boleh dipakai

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Sesuatu akta yang dibentangkan di Parlimen perlu dilihat secara hitam putih kuasa mereka yang tercatat di dalam akta tersebut, demikian tegas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Katanya, kuasa inilah sama ada kuasa menteri, hakim, pengarah penjara atau polis yang akan menentukan sesuatu akta termasuk Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota).

Beliau berkata, jaminan menteri, tidak boleh dipakai dalam sesuatu akta, misalnya kerajaan memperkenalkan ISA  pada tahun 1961 untuk digunakan kepada komunis akhirnya ia disalahgunakan.

"PAS menyokong akta ISA itu dalam parlimen kerana Menteri berjanji dalam parlimen, bahawa akta itu hanya akan digunakan kepada komunis yang mengangkat senjata, tidak akan disalahgunakan.

"Jaminan itu, diberikan sendiri oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Tetapi, apabila akta itu diluluskan, hitam putih tidak menyebut komunis atau pasukan bersenjata.

Jelasnya, hanya kuasa menteri sahaja boleh digunakan untuk mentafsirkan siapa yang membahayakan keselamatan negara.

"Dan akta itu, disalahgunakan ditangkap siapa saja termasuk pemimpin politik, pemimpin kesatuan sekerja dan para pelajar.

"Penunjuk perasaan menuntut kenaikan harga padi di Kedah, penunjuk perasaan kenaikan harga getah di Baling dan berbagai-bagai lagi disalahgunakan akta itu, sewenang-wenangnya," katanya kepada Harakahdaily.

Pota pun begitu juga, katanya, walaupun Timbalan Menteri berjanji tidak akan disalahgunakan, janji itu tidak tercatit di dalam akta.

Oleh itu, katanya akta Pota ini tetap zalim dan perlu ditentang oleh semua pembuat undang-undang di Parlimen dan juga rakyat.

Rang undang-undang Pota diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada kira-kira jam 2.25 pagi Selasa, selepas dibahaskan hampir 14 jam.

Terdahulu, undian belah bahagian yang terakhir memihak kepada kerajaan dengan kiraan 79 bersetuju meluluskan dan 60 tidak bersetuju. – HARAKAHDAILY 8/4/2015

Share on Myspace