EKJS: PAS gesa MP Titiwangsa sokong RUU

| .

 

KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Titiwangsa hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani bagi meminta sokongan terhadap pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian (Private Bill) yang dibawa Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS dijangka membentangkan RUU itu pada sesi kali ini setelah RUU mengenai Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2015 itu berada pada giliran ke-24 dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat bagi bacaan kali pertama.

Yang Dipertua PAS Kawasan Titiwangsa, Mejar (B) Abdullah Abdul Wahab berkata dengan sokongan dan kelulusan ini akan meluaskan lagi bidang kuasa yang sedia ada dalam Akta Mahkamah Syariah dan membuka laluan bagi pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 (EKJS2) di Kelantan.

"PAS melihat isu ini adalah isu umat Islam keseluruhan dan melangkaui sempadan politik kepartian.

"Pastinya juga, umat Islam seluruh dunia menanti dengan penuh minat bagaimana usul ini berjaya diluluskan untuk dilaksanakan nanti," katanya selepas penyerahan memorandum di lobi parlimen.

Katanya lagi, PAS Titiwangsa percaya pelaksanaan syariat Islam mampu dan sesuai dilaksanakan kerana Malaysia telah  diiktiraf sebagai sebuah negara Islam, bahkan agama Islam menjadi agama rasmi Persekutuan seperti termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

"Seluruh umat Islam di negara ini ternanti-nanti dengan penuh debat dan harapan yang menggunung tinggi agar usul dibentangkan Ahli Parlimen Marang dipersetujui dan diluluskan sebulat suara oleh semua ahli-ahli parlimen beragama Islam dari pelbagai parti.

"Umat Islam Titiwangsa memerhati dan mengharapkan Ahli Parlimen di kawasan mereka menyokong usul ini bersama-sama dengan Ahli Parlimen Islam yang lain," sambung beliau.

Abdullah turut berharap agar semua pihak mengenepikan sentimen politik dan perbezaan fahaman bagi memastikan cita-cita mendaulatkan Syariat Islam terlaksana di negara ini kelak.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Titiwangsa, Suhaimi Abdul Aziz berkata PAS kawasan lain juga akan mengemukakan memorandum kepada ahli parlimen masing-masing bagi mendapatkan sokongan mereka. - HARAKAHDAILY 8/4/2015

Share on Myspace