Sabar, tunggu keputusan speaker - Presiden PAS

| .

 

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta semua pihak bersabar dan menunggu keputusan Speaker Dewan Rakyat berhubung pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian (Private Bill) yang akan dibentangkan boleh beliau nanti.

Ahli Parlimen Marang itu sebelum ini mengemukakan RUU Persendirian mengenai RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2015 untuk dibentangkan pada sesi parlimen kali ini.

"Kita tunggu keputusan speaker untuk ia dibentangkan pada sesi parlimen kali ini.

"Harap semua boleh tunggu dan kita telah bincang untuk ia dipercepatkan, sekarang biar speaker buat keputusan," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Ketika ditanya mengenai sokongan dari ahli-ahli Umno berhubung RUU tersebut, beliau berkata perbincangan telah dibuat oleh Kerajaan Kelantan sebelum ini.

"Insya-Allah, perbincangan telah dibuat dan kita perlu tunggu dan saya tidak boleh mengulas terlalu awal dan menjadi kewajiban orang Islam untuk menyokong.

"Kita telah bersetuju untuk menerima semua pandangan mereka yang menyokong serta menolak RUU persendirian ini, kita amalkan demokrasi," katanya lagi.

Beliau yang juga Adun Rhu Rendang turut berkata, PAS tidak mempunyai halangan jika DAP menolak perbentangan RUU tersebut.

"Tidak perlu kerana perkara itu sudah lama dan ia melibatkan orang Islam sahaja, sudah ada keputusan beberapa tahun lalu untuk Kelantan melaksanakannya.

"Kita juga tidak ada halangan untuk DAP tidak bersetuju, itu kenyataan awal yang telah kita buat.

"Sebab perjalanan kita dalam Pakatan Rakyat, sudah banyak perkara yang dilakukan oleh DAP dan PKR tanpa diberitahu kepada PAS," katanya. - HARAKAHDAILY 8/4/2015

Share on Myspace