Pota kini dikenali sebagai 'Akta Larut Malam'

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tindakan BN meluluskan Akta Pencegahan Keganasan (Pota) di larut malam seolah-olah memaksa rakyat untuk menerimanya tanpa bantahan.

"Selepas ini, rakyat pula bakal dipaksa menerima cadangan pemindaan Akta Hasutan," kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, perkara yang paling dikecam di dalam kedua-dua akta itu ialah peruntukan untuk penahanan tanpa bicara bagi Pota dan penahanan si tertuduh tanpa jaminan, elemen yang menyebabkan rakyat membenci dan menuntut ISA dimansuhkan selama ini.

Menurutnya, dengan keadaan Perdana Menteri dan BN makin goyah ekoran serangan Dr Mahathir, skandal 1MDB, GST dan sebagainya, ini menimbulkan keraguan niat sebenar kerajaan BN memperkenalkan ISA dalam bentuk Pota dan pemindaan Akta Hasutan yang dicadang dalam keadaan yang sebegitu tergesa-gesa.

"Apakah semua ini untuk kerajaan BN mengekalkan kuasa kerana menyedari ia sudah kehilangan populariti di kalangan rakyat?" tanya beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Sebelum ini, ujar beliau Akta Hasutan telah digunakan sewenang-wenangnya terhadap ahli pembangkang dan media.

"Dengan pindaan yang melibatkan peruntukan untuk tiada jaminan kepada mereka yang dituduh di bawah ini, apakah kerajaan mahu mengebumikan kebebasan bersuara dan media secara tidak langsung?" ujarnya lagi.

Tambah beliau, tiada jaminan bahawa perkara itu tidak akan berterusan dan Pota disalahgunakan untuk tujuan politik.

Kata beliau, kerajaan memberikan alasan bahawa Pota dan Akta Hasutan digunakan melawan keganasan, tapi yang dibimbangi rakyat ialah kehadiran dua akta itu menjadi alasan untuk kerajaan bertindak ganas apabila terdesak.

"Oleh itu, rakyat perlu menolak kerajaan BN. PAS dan Pakatan Rakyat akan memansuhkan Pota dan Akta Hasutan jika diberi kepercayaan untuk memerintah di PRU14," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 8/4/2015

Share on Myspace