Pemuda PAS anjur seminar rungkai perbezaan pendapat

| .

KUALA LUMPUR: Lajnah Politik Pemuda PAS Malaysia menganjurkan seminar Nadwah Fiqh Ikhtilaf bagi merungkai penyelesaian perbezaan pendapat melalui konsep Fikh Ikhtilaf yang diketengahkan oleh Dr Yusof Al-Qaradhawi.

Seminar ini akan berlangsung pada Sabtu, 11 April ini di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, Selangor.

Seminar sehari bermula dari 9.00 pagi hingga 5.30 petang ini akan diisi dengan pembentangan dua kertas kerja, bedah buku dan forum.

Kertas kerja pertama bertajuk 'Pengalaman Perbezaan Pendapat Dalam Ikhwan' akan dibentangkan oleh Setiausaha Agung Ihkwan, Dr Ibrahim Munir.

Kertas kerja kedua pula bertajuk 'Pengalaman Perbezaan Pendapat di Indonesia' akan dibentangkan oleh Ketua Hubungan Masyarakat PKS Indonesia, Dr Mardani Ali Sera.

Ahli jawatankuasa Kesatuan Ulama Dunia, Ustaz Ghani Shamsuddin dan penolong setiausaha Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ramadan Alias akan membicarakan buku bertajuk Fiqh Ikhtilaf tulisan Dr Yusof Al-Quradhawi (Ash-Shahwah Al-Islamiyah, Bainal Ikhtilafil Masyru' Wat-Taffarruqil Madzmum).

Pada sebelah petangnya pula akan berlangsung forum bertajuk 'Berbeza Bukan Bersengketa' yang akan menampilkan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Hubungan Masyarakat PKS, Dr Mardani Ali Sera.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat dan timbalannya Mohamad Khalil Abdul Hadi akan menyampaikan ucapan diakhiri dengan penutup oleh Presien PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Seminar ini mensasarkan semua exco Pemuda PAS Malaysia dan exco negeri serta lima orang wakil bagi setiap pemuda kawasan dan kehadiran PAS Kawasan, Dewan Ulama dan Dewan Muslimat Negeri dan Pusat turut dialu-alukan. - HARAKAHDAILY 8/4/2015

Share on Myspace