PT 2015-2020: Ke mana ukuran pendidikan negara?

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Pelan Pembangunan Pendidikan (Pengajian Tinggi) 2015-2020 akan mengulangi kegagalan yang sama jika kerajaan tidak serius memperbaiki taraf pendidikan tinggi di negara ini.

Pendidikan seringkali menghadapi perubahan polisi dan perancangan namun sering kali ia juga mengundurkan standard pendidikan negara ke belakang dan tersasar daripada makna dan penghayatan kepada Falsafah Pendidikan Negara.

Sebelum ini, pelbagai polisi yang diperkenalkan kerajaan akhirnya membawa padah dan terpaksa berhenti di tengah jalan kerana seolah-olah tiada perancangan yang lebih teliti terhadapnya seperti perlaksanaan 'Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di Dalam Bahasa Inggeris' (PPSMI) yang bermula pada 2003 dan akhirnya dimansuhkan pada 2007.

Begitu juga Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang bermula pada 2006 yang tidak mencapai sasaran yang membanggakan. Kini, PPPM (PT) 2015-2020 pula diperkenalkan dengan pelbagai perancangan tetapi kelihatannya hanya bertukar kulit dan warna.

Laporan ‘United Nations Education Index’, ‘Trends In Mathematics and Sciences Study’ (TIMSS) dan ‘The Programs for International Students Assessment’ (PISA) menunjukkan pendidikan di negara kita semakin jauh ketinggalan ke belakang terutamanya di kalangan negara Asia seperti Korea Selatan dan Vietnam.

Masalah yang membelenggu pendidikan negara adalah struktur pendidikan yang tidak mencapai tahap yang sepatutnya.

Adakah semua rakyat pedalaman menerima kualiti pendidikan yang memuaskan? Apakah belenggu yuran pengajian yang tinggi di IPT dapat dikurangkan dengan pembiayaan terus oleh kerajaan?

Kegagalan kerajaan melihat masalah pendidikan secara objektif menyebabkan pendidikan negara semakin mundur setapak ke belakang. Tiada apa yang mampu dibanggakan jika jurang pendidikan luar bandar dan bandar terus meningkat.

Malah, lebih membimbangkan, kerajaan di dalam pelan yang sama berhasrat untuk mengurangi pembiayaan terhadap IPT di samping membuka sumber pembiayaan kewangan yang lain. Keadaan ini seolah-olahnya melepaskan tanggungjawab sosial kerajaan terhadap pendidikan negara.

Saya melihat kerajaan sepatutnya memberikan keutamaan kewangannya dalam melestarikan pendidikan di negara ini, bukan bertindak sebaliknya.

Wang yang diperolehi kerajaan hari ini adalah daripada rakyat melalui kutipan cukai dan sebagainya, maka, keutamaan kepada pendidikan tidak harus dikurangkan, termasuk juga kesihatan dan perumahan. - HARAKAHDAILY 8/4/2015

Penulis ialah Ahli Parlimen Pasir Mas.

Share on Myspace