Pota jelmaan ISA, lulus tergesa-gesa

| .

 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar kesal apabila parlimen meluluskan Akta Pencegahan Keganasan (Pota) secara terburu-buru, 12 jam selepas dibahaskan.

Beliau berkata, Pota merupakan satu undang-undang yang perlu penilaian dan penelitian yang terperinci.

"Apa salahnya jika ruangan yang lebih banyak dan tempoh yang lebih panjang diberikan supaya ahli-ahli parlimen dapat berbahas dengan mendalam berkaitan dengan pelbagai perkara kontroversi dalam rang undang-undang tersebut.

Ada juga permintaan supaya rang undang-undang ini dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan untuk ditelitikan satu per satu seksyen supaya tidak berlaku sebarang kecacatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau juga, kuasa parlimen seolah-olah disalah guna apabila memaksa ahli-ahli parlimen berada di Dewan Rakyat sehingga jam 2.30 pagi sehingga rang undang-undang tersebut diluluskan.

"Akhirnya, undang-undang zalim ini telah diluluskan walaupun sarat dengan cacat cela di Dewan Yang Mulia. Semua ini membuktikan bahawa Parlimen Malaysia disalah gunakan oleh pihak kerajaan untuk sesuatu tujuan tersirat," katanya lagi.

Beliau bimbang Pota akan disalah gunakan untuk kepentingan politik BN dengan mengenakannya ke atas pemimpin-pemimpin politik pembangkang atau sesiapa sahaja.

"Undang-undang ini telah membuka ruangan untuk tahanan tanpa perbicaraan yang pasti akan membawa ketidak adilan terhadap seseorang yang tertuduh.

"Roh undang-undang zalim ISA telah menjelma semula dalam jasad undang-undang baru yang merupakan satu undang-undang kolot yang menjejaskan hak asasi manusia dan imej negara di arena antarabangsa," katanya. - HARAKAHDILY 8/4/2015

Share on Myspace