Royalti: Rakyat Kelantan disaran solat hajat

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan disaran menunaikan solat sunat hajat di masjid-masjid dan madarasah malam Jumaat ini memandangkan kes tuntutan royalti dibicara di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutus 13 isu yang dikemukakan kerajaan negeri berhubung tuntutan royalti sebelum ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata mahkamah akan memutuskan berkaitan isu pentakrifan, status dan perjanjian antara Petronas dengan negeri-negeri.

Katanya tuntutan mendapat hak ke atas royalti difail di mahkamah pada 2010 dan akan diperdengarkan perbicaraan pada Mei ini.

“Pada masa yang sama difahamkan mahkamah akan memutus tarikh perbicaraan kes itu pada Jumaat ini juga.

“Oleh itu kerajaan negeri berharap keputusan positif kepada kerajaan negeri supaya ruang untuk kita mengemukakan soalan penting di mahkamah pada perbicaraan yang diadakan.

“Isu-isu yang dibangkit itu di bawah Aturan 14 Kaedah Mahkamah,” ujarnya di sini semalam.

Pada 30 Ogos 2010 kerajaan Kelantan memfailkan saman tuntutan royalti di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta.

Kelantan mendakwa Petronas melanggar Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 kerana tidak membayar royalti, hasil daripada minyak dan gas di perairannya.

Tuntutan royalti minyak Kelantan dianggarkan bernilai lebih RM800 juta setahun sejak 2005. – HARAKAHDAILY 8/4/2015

Share on Myspace