PRK Rompin mungkin serentak Permatang Pauh

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menolak kemungkinan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin di Pahang akan diadakan serentak dengan PRK Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kemungkinan untuk menjalankan PRK di kedua-dua kawasan secara serentak adalah kerana tarikh kekosongan bagi kerusi terbabit terlalu dekat.

Perkara itu bagaimanapun akan dimuktamadkan pada mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh dan persiapan PRK Parlimen Rompin pada Jumaat ini, katanya.

"Permatang Pauh (tarikh kekosongan) 1 April, manakala Rompin mungkin kita akan isytihar kosong pada 5 April ... apapun tunggulah sehingga Jumaat ini," katanya dalam sidang media berkaitan PRK Parlimen Permatang Pauh di sini, Rabu.

Suruhanjaya itu hari ini menetapkan PRK Permatang Pauh diadakan pada 7 Mei ini, penamaan calon pada 25 April, manakala pengundian awal ditetapkan pada 3 Mei.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRK Rompin Jumaat ini (10 April) bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan proses pilihan raya kecil itu termasuk penamaan calon, pengundian awal, pengundian biasa dan menentukan daftar pemilih.

PRK Parlimen Rompin perlu diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Sabtu lalu.

Selain Jamaluddin, tragedi itu turut mengorbankan lima yang lain iaitu Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, juruterbang helikopter Clifford William Fournier Jr, , ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan kenalan kepada juruterbang, Aidana Baizieva.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mei 2013, Jamaluddin yang juga Pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mengekalkan kerusi kawasan tersebut yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mengalahkan bekas Ketua Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Sementara itu PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu yang menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan ketua pembangkang itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan. - Bernama

Share on Myspace