Abim kecam IS serang kem pelarian Palestin di Yarmuk

| .

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengecam serangan terkini kumpulan militan Negara Islam (IS) ke atas Kem Pelarian Palestin di Yarmuk Syria.

Menurut laporan agensi berita Al-Jazeera, seramai 2,000 orang pelarian Palestin telah pun dipindahkan dari kem tersebut yang didiami seramai 18,000 orang.

Menurut Naib Presiden Abim, siri terkini kekejaman ini melangkaui batas pertimbangan manusiawi, lebih-lebih lagi apabila serangan tersebut membabitkan pelarian Palestin sebagai mangsanya.

"Abim menilai peristiwa ini akan hanya memburukkan situasi geo-politik di Timur Tengah yang dibayangi pelbagai kemelut pasca-Arab Spring.

"Serangan IS ke atas pelarian Palestin seharusnya menjadi 'wake up call' kepada generasi muda untuk tidak terjebak ke dalam kelompok ekstremisme seperti IS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru katanya, Abim mengharapkan kerjasama daripada warga serta organisasi media agar mengetengahkan siri kekejaman terbaru IS ini selari dengan pendirian tegas rakyat serta kerajaan Malaysia menolak IS.

"Atas keadaan yang berlaku ini, Abim menyeru seluruh warga Malaysia yang prihatin agar dapat menyalurkan sokongan serta bantuan kemanusiaan kepada warga Syria serta Palestin (di Syria) yang memerlukan," katanya lagi.

Segala bentuk sokongan ini boleh disalurkan menerusi jaringan NGO-NGO kemanusiaan Syria seperti Gabungan Selamatkan Syria. - HARAKAHDAILY 8/4/2015

Share on Myspace