Kelantan harap krisis Yaman diselesai segera

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kelantan berharap krisis Yaman sekarang dapat diselesaikan segera bagi mengembalikan keamanan dan kesejahteraan penduduk negara tersebut.

Bagaimanapun Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di Yaman hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Katanya mereka hendaklah mengambil langkah berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sana bagi memudahkan urusan evakuasi.

“Saya turut mengingatkan agar jangan ada dalam kalangan pelajar-pelajar kita di sana terlibat dengan sebarang agenda memerangi pemberontak Houthi yang semakin memuncak,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ekoran perkembangan terbaru di Yamen seramai 156 rakyat Malaysia dibawa keluar dari Yaman dan mereka sudah tiba di tanah air.

Pemberontakan di Yamen oleh majoriti Houthi berlaku lebih 10 tahun lalu bagi menjatuhkan Presiden Yaman, Abd-Rabbu Mansour Hadi.

Krisis tersebut tambah gawat apabila pesawat-pesawat tempur Arab Saudi melancar serangan terhadap pemberontak Houthi pada 26 Mac lepas.

Ustaz Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata beliau meneliti perkembangan terkini di Yaman yang sedang bergolak.

“Usaha Kerajaan Malaysia melalui Majlis Keselamatan Negara membawa pelajar-pelajar di sana pulang ke tanah air adalah suatu yang tepat.

“Saya mengucapkan penghargaan kepada Kementerian Pertahanan yang segera mengambil tanggungjawab dalam menyelesaikan urusan evakuasi rakyat Malaysia di sana,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 8/4/2015

Share on Myspace