NERS: Tolak rundingan terus tanpa justifikasi kukuh

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan memberikan justifikasi kepada rundingan terus berhubung MyEG dan NERS.

Ini, ujarnya membuktikan bahawa kerajaan mengikuti prosedur perolehan negara dengan sepenuhnya, mahukan pertandingan sihat dalam perniagaan dan tidak menyokong monopoli dan bersifat kronisme.  

Beliau menyatakan demikian merujuk kepada saranan Timbalan Menteri Dalam Negeri bahawa Putrajaya dalam usaha mengkaji menubuhkan sebuah agensi di bawah Unit Pemodenan dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) untuk menguruskan pembaharuan permit pekerja asing dan memecahkan monopoli yang dipegang oleh MyEG Services Bhd perlu diberikan perhatian terperinci.

Namun begitu, katanya kerajaan wajib menghormati prosidur perolehan negara di mana justifikasi untuk rundingan terus (direct negotiation) harus diikuti sepenuhnya.

"Adalah satu misteri bagaimanakah pembidaan Sistem Penguatkuasaan dan Pendaftaran Warga Asing (NERS) kepada Akrab Makmur Sdn Bhd telah dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pembidaan secara rundingan terus hanya dibenarkan untuk perkhidmatan ketenteraan, barangan-barangan proprietary dan perkara yang menggugat keselamatan negara.

Beliau mempersoalkan adakah hanya satu syarikat di dunia ini yang mampu menyediakan sistem NERS.

Katanya, amalan itu juga menunjukkan kerajaan lebih gemarkan pemberian projek kepada syarikat kroni dan menggalakkan monopoli.

Tambahnya, Sistem Penguatkuasaan dan Pendaftaran Warga Asing (NERS) diwujudkan bertujuan memantau kemasukan setiap warga asing di semua 96 pintu masuk utama negara.

Melalui pintu tersebut, ujarnya pihak berkuasa mampu menangani pelbagai isu membabitkan warga asing termasuk pemalsuan dokumen, tinggal lebih masa, salah guna visa serta pemerdagangan manusia.

Katanya lagi, Kerajaan Malaysia telah menandatangani perjanjian konsesi bersama NERS selama 12 tahun di mana sistem ini bertanggungjawab dalam sistem pengurusan pendaftaran warga asing.

Tambahnya, pembayaran caj yang dilakukan adalah subsidi daripada kerajaan Malaysia sebanyak RM50 bagi setiap pas lawatan (kerja sementara).

Sehingga tahun 2012, ujar beliau jumlah visa yang telah diluluskan adalah melebihi 2 juta pas.

"Jadi, kira-kira RM100 juta telah dikeluarkan sebagai subsidi bagi menyokong sistem ini," katanya.

Persoalan yang timbul, katanya adalah bagaimanakah proses pemilihan syarikat yang dipertanggungjawabkan dalam melaksanakan sistem ini.

"Adakah projek yang diberikan melalui rundingan ataupun tender terbuka?" tanya beliau.

Tambahan pula, katanya siapa yang mempunyai autoriti ataupun pengalaman yang bersifat teknikal dalam menguruskan operasi dalam industri IT dan Telekomunikasi di dalam senarai lembaga pengarah syarikat.

Tambah beliau lagi, tempoh perjanjian konsensus untuk sistem ini kepada sebuah syarikat adalah selama 12 tahun.

"Apakah agensi yang menyelia ini mempunyai pelan sokongan jika tidak memenuhi KPI yang digariskan eerta adakah wujud sebarang agensi yang akan memantau operasi sistem NERS ini?" ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 9/4/2015

Share on Myspace