GST: Sekarang masanya rakyat bangkit

MUHAMMAD YUSRI AMIN | .

TUMPAT: Andaian kerajaan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bersifat sementara dianggap meleset memandangkan kehidupan rakyat makin tertekan sekarang.

Belilah apa sahaja barangan keperluan harian di kedai semuanya meningkat. Paling mengawatkan kesukaran orang ramai untuk menambah nilai kad prabayar kerana peniaga enggan lagi menjualnya kerana risiko GST.

Anggota Exco kerajaan negeri Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata bantahan awal Pakatan Rakyat terhadap GST ternyata berasas kerana kehadiran GST membuatkan tekanan baru terhadap rakyat.

Katanya peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan biar pun ada kalangan mereka tidak berdaftar dengan Jabatan Kastam.

“Dan sekarang masa paling sesuai untuk rakyat bangkit untuk membantah GST secara lebih meluas memandangkan mereka sendiri merasai bebanannya sekarang,” katanya di sini petang semalam.

Beliau ditemi selepas merasmikan penutup Pertandingan Hafazan al-Quran Peringkat Akhir Sekolah-Sekolah Agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik) di Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Bustanus Saadah, Morak.

Che Abdullah yang juga Naib Yang Dipertua PAS Tumpat berkata walau apa pun penjelasan diberikan kerajaan, ia sukar diterima rakyat kerana bebanan kenaikan harga barangan begitu ekstrem sekarang.

Sementara itu pada program berkenaan Ammar Muhd Nuri dari SMU (A) Al-Kauthar Peringat diumumkan johan pertandingan hafazan, manakala Busyra Salihin (Maahad Muhammadi Pasir Pekan) johan bahagian perempuan.

Naib Johan,  Ahmad Husni Azlan (Maahad Muhamamdi Air Lanas) dan tempat ketiga Izznul Aiman Ismail (Maahad Ahmadi Tanah Merah).

Naib johan perempuan disandang Nik Nor Adhina Zakaria (SMU (A) Tarbiah Mardziah, Panchor  dan tempat ketiga Siti Ameerah Fauzi (Maahad Muhammadi Perempuan). - HARAKAHDAILY 9/4/2015

Share on Myspace