Mahathir sangat simpati cerita ibu Sirul

| .

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar merancang untuk mengaturkan perbualan telefon antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Koperal Sirul Azhar Umar.

Kata beliau, perbualan telefon itu akan membolehkan Sirul menceritakan kisah yang berlaku di sebalik pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena sebelum itu turut mengesahkan terdapat pertemuan antara ibu Sirul, Piah Samad dengan Mahathir di Yayasan Perdana Putrajaya semalam. (Foto atas)

"Saya akui ada pertemuan diadakan antara ibu Sirul Azhar bersama bekas Perdana Menteri.

"Maaf kerana tidak memaklumkan lebih awal pertemuan tersebut kerana kita tidak mahu ada apa-apa halangan pada pertemuan itu," katanya.

Katanya, pertemuan tersebut sebagai memenuhi hasrat Piah untuk meminta pertolongan Mahathir agar Sirul diberi peluang baru untuk memulakan hidup baharu.

"Pertemuan itu berlangsung pada 3.40 petang selama 40 minit, pada pertemuan itu Piah mengharapkan ada pertolongan dari Tun.

"Saya melihat Tun mendengar dengan teliti luahan hati perasaan seorang ibu, Tun mengakui beliau mengenali Sirul sewaktu menjadi Perdana Menteri.

"Tun sangat simpati dengan apa yan diceritakan ibu Sirul dan ibu Sirul mengharapkan sesuatu dapat dilakukan Tun agar Sirul mempunyai kehidupan baru, ini intipati pertemuan kami semalam," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Beliau juga berharap akan ada lagi pertemuan Piah dengan Mahathir bagi membolehkan beliau membuat panggilan kepada Sirul dan peluang untuk bekas Perdana Menteri itu mendengar sendiri dari anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu.

"Semalam tidak sesuai untuk saya membuat panggilan sebab pertemuan itu lebih kepada luahan hati seorang ibu. Mengharapkan pertemuan dapat dilakukan lagi dalam masa terdekat.

"Piah melihat ada ruang baru untuk anaknya apabila Tun menggesa siasatan dilakukan semula serta mencari siapa yang mengarahkan pembunuhan tersebut, kerana Tun tahu Sirul hanya melaksanakan arahan pihak tentu.

"Saya percaya Tun dapat melakukan tekanan untuk siasatan diadakan semula, apabila Sirul dapat menceritakan apa yang berlaku, beliau mempunyai cara untuk membuat desakan," sambungnya lagi.

Mahfuz juga bersedia membiayai perjalanan pegawai polis mahupun Ketua Polis Negara ke Australia jika mereka berhasrat untuk ke sana.

"Tak perlu untuk berbohong kata pegawai polis sudah bertemu dengan Sirul, kalau tidak ada duit saya sedia mencari pembiaya untuk menampung ke sana," kata beliau lagi. - HARAKAHDAILY 9/4/2015

Share on Myspace