Pota: Jelaskan prosedur dan proses pendakwaan

| .

 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan bimbang Akta Pencegahan Keganasan (Pota) terdedah kepada kezaliman kepada pihak tertuduh sekiranya proses proses pendakwaan, pembuktian dan pembicaraan tidak dilakukan dengan adil.

Beliau berkata, suspek boleh ditahan terlalu lama, tiada ruang pembelaan, dan penghakiman yang dilakukan oleh Lembaga Pencegahan Keganasan tidak boleh disemak di mana-mana bahagian mahkamah.

"Akta Pencegahan Keganasan 2015 baru sahaja diluluskan dengan penuh kontroversi kelmarin. Perbahasan lebih 12 jam tersebut masih lagi mempunyai beberapa ruang kelemahan meskipun daripada segi prinsip, Islam tidak mengharuskan keganasan dan bersikap melampaui batas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat turut berkata, sebelum Pota diwartakan, pihak Polis Diraja Malaysia telah merekodkan jumlah tangkapan rakyat Malaysia yang didakwa terlibat dengan gerakan kumpulan militan negara Islam (IS) meningkat kepada 93 orang sejak Jun tahun lalu.

Terbaru, 17 orang ditangkap di Kuala Lumpur dan Kedah kerana didakwa merancang plot keganasan dan mencuri senjata api milik pasukan keselamatan.

"Persoalannya, bagaimana proses pendakwaan dan prosedur perbicaraan yang dilakukan oleh pihak polis serta pihak mahkamah terhadap mereka yang telah ditangkap selama ini?

Adakah mereka yang telah ditangkap telah dibicarakan? Adakah semua yang ditangkap telah didapati bersalah dan ditahan di mana-mana penjara?" soalnya.

Justeru katanya, pihak polis mesti menjelaskan perkara ini bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan rakyat.

"Ini juga menjawab kemungkinan akta sedia ada boleh mengawal atau mencegah kes keganasan yang ditimbulkan akhir-akhir ini," katanya. - HARAKAHDAILY 9/4/2015

Share on Myspace