Altantuya: NGO Kelantan desak polis siasat Mahathir

MOHD NOR YAHYA | .

RANTAU PANJANG: Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan menjejaki Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membuat laporan polis terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan isu pembunuhan kejam Altantuya.

Presidennya Abdul Razak Abas berkata siasatan perlu dijalankan terhadap bekas Perdana Menteri terbabit memandangkan kenyataannya sebelum ini mengenai Altantuya menimbulkan banyak tanda tanya kalangan rakyat.

“Adakah Tun terlepas daripada perundangan negara sehingga beliau agak lantang mengkritik kepimpinan negara sekarang,” katanya selepas membuat laporan polis terhadap Dr Mahathir di Balai Polis Rantau Panjang hari ini.

Baru-baru ini Dr Mahathir mempertikaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak menjawab dakwaan bekas pengawal peribadinya Sirul Azhar Umar berkaitan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Sirul sebelum itu dilaporkan mendakwa dia bertindak di atas arahan membunuh Altantuya.

Kenyataan bekas Perdana Menteri terbabit memberi ruang kepada Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membuat laporan polis di beberapa tempat sebelum ini bagi menyiasat dakwaan tersebut di bawah Akta Hasutan 1948.

Abdul Razak juga berkata sebelum ini polis begitu cepat membuat siasatan apabila ada laporan polis terhadap pemimpin Pakatan Rakyat.

“Isu yang dibangkitkan Dr Mahathir berkaitan Altantuya menyebabkan rakyat tertanya-tanya dan berada dalam resah kerana dianggap mempertikai keputusan mahkamah.

“Saya bimbang kelantangan Tun akan menjadi pencetus kepada rakyat turut mempertikaikan keputusan mahkamah sehingga boleh membawa kepada hilang kepercayaan rakyat terhadap institusi itu,” ujar beliau.

Hadir sama Setiausaha Kehormat Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan Adnan Mohd Zain. - HARAKAHDAILY 9/4/2015

Share on Myspace