PRK Permatang Pauh, Rompin medan tolak GST

MUHAMMAD YUSRI AMIN | .

KOTA BHARU: Kerajaan sepatutnya memberi tumpuan mengurangkan ketirisan dalam kewangan negara dan bukannya membebankan rakyat dengan cukai baru yang membebankan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata teguran yang dibuat Ketua Audit Negara sepatutnya diberi perhatian serius dan kerana ia berulang setiap tahun.

Katanya jika benar-benar wujud ketelusan dalam pentadbiran negara mungkin cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak perlu dilaksanakan sekarang.

“Sekarang rakyat dikenakan GST, sedangkan dalam masa yang sama teguran Ketua Audit Negara mengenai ketirisan perbelanjaan negara berterusan berlaku setiap tahun.

“Kalau difikirkan dengan lojik tadbir urus negara secara telus dan adil buat apa GST lagi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Penutup Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Nilam Puri hari ini.

Abdul Fattah berkata keutamaan kerajaan sekarang mengurangkan ketirisan dan bukan menekan rakyat dengan rejim cukai baru yang cukup membebankan.

Oleh itu menurutnya pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh dan Rompin boleh dijadikan medan kebangkitan rakyat untuk menolak kerajaan BN. - HARAKAHDAILY 9/4/2015

Share on Myspace