Kerbau pun ada masa mandi tapi MP Malaysia...

V SIVAKUMAR | .

Sewaktu menulis kenyataan ini, jam 1.30 am, 9 April 2015, kami ahli-ahli parlimen terpaksa duduk di Dewan Rakyat untuk membahas 4 lagi rang undang-undang. Ini adalah satu lagi penyalahgunaan kuasa parlimen. Kerajaan mahu meluluskan undang-undang di larut malam secara terburu-buru.

Kenapa kerajaan mahu melakukan ini? Apa niat kerajaan sebenarnya? Adakah kerajaan mahu parlimen kita meluluskan undang-undang tanpa memberi ruangan dan peluang kepada pihak pembangkang membuat persediaan yang lengkap dan komprehensif? Sememangnya teknik yang digunakan kali ini adalah cukup ganjil tetapi memalukan Parlimen Malaysia.

Kerajaan tidak mahu pihak pembangkang membahaskan rang undang-undang secara teliti dan terperinci. Ini adalah niat jahat dan penyelewengan kuasa yang boleh memudaratkan rakyat.

Walaupun pihak pembangkang membantah dan memohon supaya Dewan ditangguhkan tetapi pihak kerajaan masih mahu meneruskan sidang Dewan lewat malam. Hujah-hujah pihak pembangkang ialah kualiti perbahasan akan terjejas apabila ahli-ahli parlimen letih kerana terpaksa bersidang dari pagi hingga larut malam.

"Kerbau pun ada masa untuk mandi, tetapi ahli-ahli parlimen Malaysia terpaksa bersidang tak bermandi".  

Pada pandangan saya ini merupakan satu penderaan terhadap ahli-ahli Parlimen. Ahli-ahli Parlimen terpaksa  bersidang kerana rang undang-undang yang dibahaskan adalah penting dan melibatkan rakyat dan negara. Ahli-ahli parlimen berkewajiban untuk membela rakyat.

Oleh yang demikian, ahli parlimen pihak pembangkang terpaksa membahaskan rang undang-undang yang dibentangkan walaupun dalam keadaan cukup tertekan dan mendesak.

Penderaan terhadap ahli parlimen boleh dimaafkan, tetapi kezaliman yang dilakukan oleh Barisan Nasional terhadap rakyat dengan meluluskan undang-undang secara terburu-buru dan kelam kabut perlu dihukum. - HARAKAHDAILY 9/4/2015

Penulis ialah Ahli Parlimen Batu Gajah.

Share on Myspace