EKJS: PAS bukan bermusuh dengan bukan Islam

| .

KUALA TERENGGANU: PAS menasihati DAP agar tidak membuat kenyataan yang boleh menimbulkan anggapan bahawa parti itu anti Islam dan bermusuh dengan orang Islam.

Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata penerimaan orang bukan Islam daripada pelbagai peringkat berkaitan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) sangat positif.

Katanya, orang bukan Islam di Malaysia hari ini sudah berubah dan telah bercampur dengan orang Islam, masyarakat yang majmuk dengan cara yang sangat baik.

Justeru Ustaz Hadi tidak menganggap DAP mewakili semua orang bukan Islam di negara ini.

“Saya hendak beri ingat kepada DAP. Jangan membuat kenyataan-kenyataan yang ‘mengheret’ sehingga orang Islam menganggap DAP anti Islam dan bermusuh dengan orang Islam. Ini suatu anggapan yang PAS tidak mahu berlaku.

“Saya tidak menganggap DAP ini mewakili semua orang bukan Islam. Orang bukan Islam tidak semuanya bersama dengan DAP.

“Sebab, saya juga ditemui oleh kalangan-kalangan orang bukan Islam, yang memberi respons yang sangat positif. Sama ada mereka bersetuju dan tidak bersetuju termasuk yang tidak bersetuju datang menemuramah saya ada dalam negeri dan luar negeri.

“Di antaranya, mereka yang sedang membuat PHD tentang politik Malaysia dan beberapa hari lalu, pemberita Reuters dan AFP datang membuat interview. Dan saya diundang untuk memberi ceramah khusus di sebuah Universiti di Singapura pada hujung bulan ini, dan mungkin isu  ini dibangkitkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas merasmikan sebuah kenderaan bagi Ma’ahad Darul Quran (MDQ) di perkarangan Masjid Rusila, Marang, semalam.

Menurutnya, mana-mana pihak yang tidak bersetuju itu perlu melihat secara ilmu dan bukan menghentam secara membuta tuli.

Apatah lagi, kata Ustaz Abdul Hadi, usul Rang Undang-undang Persendirian (Private Bill) yang dikemukakan di Parlimen itu hanya berkait dengan orang Islam sahaja. - HARAKAHDAILY 10/4/2015

Share on Myspace