Bersih 2007: PAS rayu sumbangan bayar denda

| .

 

KUALA LUMPUR: Seramai 11 orang peserta Himpunan Bersih 1.0 dikenakan denda RM8,000 setiap seorang apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendapati mereka bersalah kerana mengingkari arahan polis untuk bersurai dalam perhimpunan itu di sekitar ibu negara, lapan tahun lepas.

Mereka terdiri daripada enam Anggota Unit Amal dan lima lagi adalah ahli PAS.

Mereka yang terbabit adalah Mohd Zad Abdullah, Mohd Salim Yeslam, Abdul Razali Abdul Rahman, Razali Abdul, Azahar Yusop, Sulaiman Ahmad, Taib Abdullah, Mohd Shafie Ismail, Mohd Nazreen Mohd Nasir, Mohd Abi Salam Ariffin dan Ishak Othman.

Menurut Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi NGO, PAS Mohamad Sabu jumlah keseluruhan denda yang perlu dibayar sebanyak RM88,000 dengan denda dikenakan mahkamah RM4,000 bagi satu kes.

"11 orang ini bersalah atas dua tuduhan, satu tuduhan RM4000 bermakna seorang kena denda RM8,000," katanya kepada Harakahdaily.

Timbalan Presiden PAS itu juga merayu orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada 11 orang ini bagi membebaskan mereka dengan segera.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank; 5642 5857 6644 atas nama Pusat Penggerak Mobilisasi.

Hakim Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah memerintahkan setiap mereka dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, Tee mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepaskan dan membebaskan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Anggota Parlimen Batu Chua Tian Chang atau lebih dikenali Tian Chua daripada pertuduhan sama dengan sebelas lelaki itu.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa tempat sekitar ibu negara seperti di Jalan Raja Laut, Jalan Istana Baru dan Jalan Tun Perak antara 1 tengah hari dan 4 petang, 10 Nov 2007, mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 27(8) akta sama. - HARAKAHDAILY 10/4/2015

Share on Myspace