PAS Sarawak terus istiqamah untuk capai kejayaan

JOFRI JARAIEE PAS SARAWAK | .

Sambutan luar biasa sepanjang 3 hari program sempena lawatan ahli Dewan Harian PAS Pusat baru-baru ini ke Bintulu dan Miri antara lain adalah untuk menjelaskan isu-isu semasa serta persediaan menghadapi pilihan raya umum Sarawak akan datang.
 
Antara yang hadir ialah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli dan lain-lain.

Rombongan sampai ke Bintulu pada 3 hingga 4 April dan seterusnya pada 5 April rombongan yang terdiri daripada Dr Hatta, Mahfuz serta Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusoff turun ke Miri.
 
Program bermula dengan pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS Bintulu di Rumah Panjang Jalan Airport – Tatau dan sebanyak 30  bungkusan bantuan kebajikan telah disampaikan kepada penduduk berkenaan.  

Pada sebelah petangnya, program Santai Bersama Tuan Guru Abdul Hadi di Pantai Tanjung Batu.
 
Program pada hari sabtu bergerak di 3 buah rumah panjang di Dun Jepak dan Dun Samalaju dengan acara sukaneka rakyat, bantuan kebajikan dan program ini mendapat sambutan yang luar biasa dari penduduk tempatan.

Selepas itu ziarah ke institusi pendidikan di sekitar Bintulu. Ini membuktikan kesediaan PAS Bintulu untuk bertanding di kedua-dua Dun tersebut. PAS Bintulu juga telah menyenarai pendek dua nama calon terbaik bagi setiap Dun untuk ditonjolkan sebagai calon boleh menang.
 
Selain untuk bertemu dengan ahli, mereka juga meninjau persediaan PAS Sarawak untuk menghadapi pilihan raya umum nanti. Antara akitiviti sepanjang lawatan mereka ke Sarawak adalah berjumpa dengan masyarakat tempatan yang terdiri dari penduduk rumah panjang dan penduduk kampung.
 
Antara Pusat Khidmat yang dirasmi baru-baru ini ialah Pusat Khidmat Masyarakat di Dun Lambir. Beberapa Dun yang masih dalam perbincangan juga diberi tumpuan oleh PAS Sarawak ialah Dun Lambir, Senadin di Miri dan Dun Jepak dan Samalaju di Bintulu.
 
Walaupun masih lagi dalam peringkat perbincangan dengan rakan dalam Pakatan Rakyat Sarawak, PAS Sarawak sudah lama mengerakkan jentera kita ke Dun tersebut selain daripada 6 Dun yang telah dipersetujui sebelum ini di antara rakan dalam Pakatan Rakyat (PR).
 
Kita harap rakan kita dalam PR akan memberi kerjasama untuk menghadapi BN Sarawak satu lawan satu walaupun DAP sudah menarik diri dari PR Sarawak.
 
Harapan rakyat Sarawak adalah melihat sebuah Pakatan yang kuat untuk mengganti BN Sarawak yang terlalu lama memerintah.

Walaupun Ketua Menteri Sarawak ada menyatakan beri dia peluang sekali lagi untuk meneruskan usaha beliau membangunkan Sarawak tetapi kalau beliau seorang saja tanpa mendapat kerjasama dari pihak yang berkenaan dan masih mengekalkan muka-muka lama maka hasrat beliau mungkin terbantut.
 
Biar apa pun orang kata terhadap PAS, kita akan terus istiqamah dalam perjuang sehingga kita mencapai kejayaan. Untuk mencapai kejayaan memang penuh dengan cabaran dan dugaan sebelum dapat menikmati hasilnya di kemudian hari. Orang yang putus asa pasti gagal mencapai kejayaan tapi bagi yang terus istiqamah dalam perjuangan pasti akan beroleh kejayaan.
 
Perjuangan PAS adalah untuk menegakkan keadilan serta membela nasib rakyat yang terpinggir dari arus pembangunan tanpa mengira bangsa dan agama. Insya Allah. - HARAKAHDAILY 11/4/2015

Share on Myspace