Himpunan Derita Rakyat, kenapa kita menentang GST?

HARAKAHDAILY | .

Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak mengenal kaya dan miskin. Si miskin juga membayar cukai. Ini satu kezaliman. Justeru, ia bercanggah dengan Islam.

GST dikenakan di saat kerajaan boros berbelanja dan berlaku ketirisan antara RM23 bilion hingga RM40 bilion. Jika kerajaan membetulkan perbelanjaan negara maka GST tidak diperlukan.

Negara tidak bermasalah untuk memperolehi pendapatan tetapi bermasalah dalam membelanjakan pendapatan kerana boros dan tiris. Jika pendapatan yang sedia ada gagal diurus maka bagaimana jika hasil meningkat menerusi GST? Kerajaan tentu akan lebih boros!

Cukai GST memperluaskan cukai kepada semua barangan dan perkhidmatan melainkan yang dikecualikan. Ertinya ianya mencakupi ruang yang sangat luas. Sedangkan cukai yang harus dalam Islam sepatutnya diperkecilkan saiz barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai.

Cukai GST menyebabkan kenaikan harga barang yang menekan kehidupan rakyat yang sudah sedia berhadapan dengan pelbagai tekanan kewangan.

Tekanan kewangan akan mencambahkan lebih banyak jenayah kekerasan seperti rompak dan harta seperti curi di samping jenayah kolar putih seperti rasuah dan sebagainya.

Justeru cukai GST benar-benar menzalimi rakyat.

Menentang kezaliman adalah wajib sama ada menggunakan kuasa, lidah dan hati.
Nabi saw bersabda:

  أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ

"Sebaik-baik Jihad adalah kalimah yang benar di sisi seorang penguasa yang zalim".
Hadis riwayat Ibnu Majah dan Nasaei dengan isnad yang sahih.

Marilah kita bersama-sama dalam Himpunan Derita Rakyat; Tolak GST di Padang Merbuk jam 4 petang hingga 8.30 malam hari ini Sabtu 11 April 2015. Moga kehadiran kita beroleh pahala daripada-Nya.

Sekian.

YB Ust Datuk Dr Mohd Khairuddin  bin Aman Razali at-Takiri
11 hb April 2015
Jerlun 11 pagi

Share on Myspace