Media baharu: Pemuda PAS serius teguran Tuan Ibrahim

HAZAYANI ZAKARIA | .

SHAH ALAM: Pemuda PAS Malaysia mengambil serius teguran yang dibuat Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung penggunaan media baharu dalam menyatakan perbezaan pandangan.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, pemuda merupakan golongan yang paling terkesan dengan teguran itu golongan ini sangat aktif menggunakan media baharu.

"Pemuda sebenarnya satu generasi yang begitu terkesan dengan penggunaan media baharu ini kerana rata-rata pengguna media baharu ini dalam kalangan anak muda.

"Jadi pada saya teguran yang dibuat oleh naib presiden itu terkena banyak kepada pemuda kerana pemuda ini pengguna aktif media baharu," kata beliau kepada pemberita seusai program Nadwad Fiqh Iktilaf di Muzium Shah Alam, dekat sini hari ini.

Suhaizan berkata, di peringkat penuda sendiri sedang memantau ahli-ahli yang gemar membincangkan masalah dalaman parti di media baharu khususnya facebook.

"Kita selalu menegur pimpinan-pimpinan kita untuk lebih berhemah dari segi penggunaan media baharu dan kita selalu mengingatkan pemuda agar menggunakan media dalaman untuk meluahkan pandangan mereka tentang masalah dalaman yang berlaku dalam parti.

"Jangan menggunakan media baharu untuk menyelesaikan masalah hingga jadi bertambah buruk," katanya lagi.

Tuan Ibrahim dalam forum 'berbeza bukan bersengketa' mengingatkan ahli PAS agar menjadi pembaca dan penulis yang bertanggungjawab.

"Media baharu ni payah nak jaga. Kita kena jadi pembaca dan penulis yang bertanggungjawab," katanya. - HARAKAHDAILY 11/4/2015

Share on Myspace