Duit hasil: Peneroka Felda tak puas hati, lapor polis

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kegagalan Felda menjelaskan pendahuluan hasil Buah Tandan Segera (BTS) kepada peneroka Felda Lakum Lanchang memaksa mereka untuk membuat laporan polis.

Salah seorang peneroka Abdul Aziz Senawi, 63, telah membuat laporan di Balai Polis Lanchang pada 9 April lalu kerana tidak berpuas hati ekoran Felda gagal membayar duit hasil pada 5 April.

Beliau yang mewakili peneroka Felda Lakum turut melaporkan bahawa pihak Felda telah berjanji untuk membayar duit tersebut kepada peneroka pada 7 April.

"Pada tarikh tersebut kami peneroka hadir di Pejabat Felda dan Felda memberitahu duit kami akan dibayar pada Khamis 9 April.

"Kami pergi semula ke pejabat Felda pada tarikh yang dijanjikan, malangnya pihak Felda enggan bayar duit hasil," kata Abdul Aziz sebagaimana dalam laporan polisnya.

Mengulas perkara itu, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, mempersoalkan tindakan Felda yang sering kali menimbulkan masalah kepada peneroka.

Malah katanya, di dalam kes itu ternyata bayaran yang dijanjikan Felda gagal ditepati oleh pengurusan Felda malah suasana itu juga berlaku di Johor.

"Peneroka yang serah pengurusan kebun ke Felda dibayar sebulan sekali setiap hujung bulan. Namun nasib mereka ini tidak diketahui.

"Adakah Felda sedang mengalami krisis kewangan yang semakin tenat?" soal Mazlan menerusi facebooknya. - HARAKAHDAILY 11/4/2015

Share on Myspace