Jangan terikut sindrom pertikai pemimpin

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

Ustaz Idris menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang kepada Ustaz Mohd Baqi.

MARAN: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyeru ahli-ahli parti supaya tidak terikut-ikut dengan sindrom mempertikaikan pimpinan yang sengaja dimainkan oleh pihak tertentu pada masa ini.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, sebagai gerakan dakwah dan pertubuhan politik berteraskan Islam ahli-ahli PAS tidak sepatutnya hilang ketaatan kepada pimpinan dan jamaah selaras dengan seruan Saidina Umar ‘tiada Islam tanpa jamaah, tiada jamaah tanpa ketua dan tiada ketua tanpa ketaatan’.

Berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Maran kali ke-35 di Pasti Al-Hidayah Kampung Awah di sini, beliau menempelak ada pihak yang menuduh PAS dilanda candu wala’ (taat) dengan mengambil kata-kata Abul A’la Al-Maududi ‘organisasi yang tiada ketaatan ahlinya lebih baik terlibat aktiviti gotong-royong sahaja’.

“Betul, pada masa ini ahli-ahli PAS sudah bercakap tentang tahaluf, berfikir luar kotak, pemikiran strategik dan sebagainya sedangkan taat itu termasuk dalam perkara-perkara awaliyat dan sepatutnya kita mengikut abjadiat dalam berorganisasi,” katanya.

Idris berkata, kadang-kadang ahli lupa ketika mempertikaikan pimpinan bahawa mereka yang di atas mempunyai kelebihan melihat perkara yang tidak terfikir oleh peringkat bawahan.

Beliau mengambil contoh bagaimana Almarhum Profesor Zulkifli Mohamad yang pernah mencadangkan supaya diwujudkan ahli bersekutu dalam PAS kepada bukan Islam.

“Tetapi oleh kerana suasana pada masa itu ahli-ahli tidak faham lalu menghentam almarhum sehingga beliau menangis dan menarik balik cadangannya.

“Tetapi kita lihat, 50 tahun kemudian tertubuh Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang bertaraf ahli bersekutu. Ertinya seorang pemimpin itu pemikiran dan pandangannya sudah jauh terkehadapan dan dia sudah nampak georafi politik dan faktor perkauman dalam negara ini, cuma ahli-ahli tidak faham.

“Begitulah juga dengan presiden parti kita yang pandangan dan bacaan politik jauh terkehadapan tetapi mungkin ada yang tidak faham lalu mempertikaikannya setelah mengambil maklumat dari sumber luar,” katanya di hadapan kira-kira 300 perwakilan dan pemerhati.

Tegasnya lagi, ahli-ahli PAS mesti ada jati diri sebagaimana ikan, walaupun berada dalam lautan yang masin tetapi tetap tidak larut dengan dunia sekelilingnya.

Maran merupakan PAS kawasan ketiga di Pahang yang mengadakan mesyuarat agung selepas Kuala Krau dan Jerantut.

Turut menarik perhatian mesyuarat itu ialah kali pertama majlis dikendalikan oleh pengacara dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Arab. - HARAKAHDAILY 11/4/2015

Share on Myspace