GST: BN bersalah bebankan rakyat sejak awal lagi

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Barisan Nasional (BN) bersalah membebani hidup rakyat sejak awal pemerintahan mereka.

Beliau yang berucap pada Himpunan Derita Rakyat (Hindar) di Padang Merbok malam tadi berkata, pemimpin BN tidak perlu tuduh menuduh dalam kalangan mereka kerana pemimpin yang baharu ditipu pemimpin terdahulu.

"Pemimpin BN sering bertelagah, tuduh menuduh antara satu sama lain pada ketika rakyat menderita akibat pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sedangkan BN dulu pun bersalah dan pemimpin yang ada ini ditipu dan mengulangi kesalahan lalu," katanya.

Justeru, beliau menambah, PAS akan bertindak sebagai penasihat untuk menasihati kerajaan agar memperbetulkan kembali keadaan pentadbiran dan ekonomi.

"Kita perlu kembalikan ekonomi sekarang mengikut Islam, Islam bukan hanya pada hudud  semata-mata tetapi juga ekonomi.

"Kita sedih bila Melayu sendiri tidak terima Islam, kena ingat dalam menangani masalah ekonomi bukannya hanya melalui cukai semata-mata," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Menurut beliau, cukai bukan ubat, justeru pelaksanaannya bukan satu penyelesaian terbaik untuk sesebuah negara kerana ia akan mengakibatkan berlakunya inflasi.

"Selesaikan masalah ekonomi dengan tanggungjawab, banyak hasil bumi yang kita ada dan ini perlu kita laksanakan bukannya melalui cukai.

"Kita tidak lupa isu membabitkan kegagalan projek-projek mega dengan segala ketirisan, perbaiki ini dulu.

"Rasuah projek yang teruk dan terus berleluasa,  cara terbaik untuk mengatasinya beri sepenuh kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau meminta agar kerajaan melantik seorang penasihat ekonomi yang baik dan bukannya penasihat ekonomi yang mengampu.

Tambah beliau, pemerintah perlu kembali ke pangkal jalan jika inginkan keadaan ekonomi terus pulih dan tidak terus membeli rakyat untuk terus memilih mereka.

Sebelum itu, Timbalan Musyidul Am PAS, Ustaz Datuk Ahmad Yakob turut menyampaikan ucapan.

Selain ucapan, program sesi malam bermula dengan solat Maghrib berjamaah yang diimamkan Ustaz Ahmad, diikuti solat hajat yang dipimpin oleh AJK Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik.

Majlis berakhir sekitar masuknya waktu solat Isyak. - HARAKAHDAILY 12/4/2015

Share on Myspace