GST: Kerajaan tidak prihatin, hanya harapkan poket rakyat

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh menyifatkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai tindakan zalim kepada rakyat.

Katanya, ketidakprihatinan kerajaan dalam mengatasi masalah ekonomi serta mencari peluang baru, kerajaan hanya tertumpu kepada poket rakyat.

"GST ini zalim, cerdik ke kerajaan begini jika duit rakyat dijadikan mangsa, menekan hidup mereka serta membuatkan rakyat menderita.

"Negara luar jika hadapi masalah kewangan mereka akan mencari pelabur luar sebagai jalan penyelesaian kepada ekonomi negara, tidak menekan rakyat tetapi Malaysia menjadikan rakyat sebagai mangsa untuk tambah wang negara," ucap beliau pada Himpunan Derita Rakyat (Hindar) di Padang Merbok, di sini petang semalam.

Beliau menegaskan, Dewan Ulamak turut menentang pelaksanaan GST dan akan meneruskan kempen kesedaran tentang keburukan cukai itu ke seluruh negara.

"Kita harap program ini akan memberi kesedaran kepada kerajaan supaya mereka dapat melihat apa yang telah dilakukan terhadap rakyat.

"Kita bukan menentang membabi buta, tetapi mengikut prinsip, GST adalah cukai yng tidak sepatutnya dilaksanakan di negara ini kerana faktor ekonomi negara belum kukuh sepenuhnya.

"Kerajaan tidak boleh membandingkan Malaysia dengan negara lain kerana negara luar tidak mengenakan kepada rakyat selain itu hasil cukai GST dikembalikan kepada rakyat," katanya. - HARAKAHDAILY 12/4/2015

Share on Myspace