Muslimat PAS Wilayah terus bantu mangsa banjir Kelantan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Muslimat PAS Wilayah Persekutuan terus menunjukkan keprihatinan yang sangat tinggi kepada mangsa banjir Kelantan.

Dewan itu menyerahkan sumbangan RM40,000 kepada Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob sempena program Hi Tea Bantuan Pasca Banjir Kelantan, di sini petang semalam.

Ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd  Salleh berkata sumbangan itu berjaya dikutip dalam tempoh tidak sampai dua minggu hasil sumbangan orang ramai yang bersimpati terhadap nasib rakyat Kelantan yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir akhir tahun lalu.

Menurutnya, Muslimat PAS Wilayah Persekutuan sangat bersimpati dan berasa sangat bertanggungjawab untuk membantu mangsa banjir di negeri Pantai Timur itu.

Beliau berharap dengan bantuan yang tidak seberapa itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan tanggungan Kerajaan Kelantan dalam usaha membina rumah untuk mangsa banjir.

"Muslimat Wilayah Persekutuan juga dengan kerjasama Muslim Care kini giat mengumpulkan lagi sumbangan untuk membina sendiri sebuah rumah untuk mangsa banjir di Kelantan," ujarnya yang juga AJK PAS Pusat.

Justeru, beliau menyeru semua rakyat Malaysia yang terkenal dengan sifat prihatin terus mengambil cakna mengenai urusan kebajikan mangsa banjir di Kelantan.

Beliau berharap mangsa banjir di Kelantan terus bersabar dengan ujian Allah itu dan diberi sebaik-baik ganjaran di akhirat nanti.

Jika ada sesiapa yang ingin turut menyumbang bolehlah salurkan ke Khadimah Care, BIMB 12225010012002 atau menghubungi talian 0192114764 (Syarifah). - HARAKAHDAILY 12/4/2015

 

Share on Myspace