Kelantan capai 65% liputi air bersih

FUAD NURHADI | .

KOTA BHARU: Liputan projek bekalan air bersih di Kelantan sekarang mencapai 65 peratus daripada jumlah penduduk di negeri ini.

Ini bermakna sebanyak 20 peratus lagi diperlukan bagi mencapai sasaran 85 peratus iaitu setaraf dengan negara maju.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti, Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad berkata Kelantan sudah menghampiri bagi mencapai sasaran liputan bekalan air bersih kepada 85 peratus penduduk di Kelantan.

Bagi mencapai sasaran itu, katanya kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3.2 juta setahun bagi membaik pulih bekalan air bersih.

"Kalau dilihat kepada peratusan yang ada kita hanya memerlukan hanya 20 peratus lagi sasaran jumlah liputan bekalan air kepada penduduk.

“Kerajaan negeri melalui Air Kelantan Sdn Bhd juga membina loji baru bagi meningkatkan kapasiti bekalan air," katanya selepas merasmikan Promosi Sambungan Baru Projek Bekalan Air Luar Bandar di Kampung Sokor di sini semalam.

Program tersebut diurusetiakan Jabatan Air Negeri Kelantan dengan kerjasama Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB). Jumlah pengguna AKSB sekarang sebanyak 230,000 akaun.

Hanifa berkata juga Jabatan Air Kelantan menyediakan peruntukan sebanyak RM910,000 bagi projek penyambungan paip air ke rumah rakyat tahun ini.

“AKSB akan melipatgandakan lagi usaha bagi meningkatkan jumlah pengguna melalui projek bekalan air luar bandar menjelang tahun 2020,” ujarnya.

Hadir sama pada program berkenaan Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, Adun Kadok, Azami Mohd Noor dan Pengurus Besar AKSB, Ir Mohamad Hanapi. - HARAKAHDAILY 12/4/2015

Share on Myspace