GST: Silap pilih pemerintah, rakyat tanggung derita

MUHAMMAD FAIZAL | .

 

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata rakyat perlu membuat pilihan bijak pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, akibat dari kesilapan memilih pemerintah, rakyat terus menanggung penderitaan ekonomi selain daripada pelaksanaan undang-undang yang menekan kebebasan mereka.

"Inilah akibat dari kebodohan sesiapa yang memilih Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lalu.

"Untuk kebaikan rakyat buat pilihan bijak pada pilihan raya nanti," katanya ketika berucap pada Himpunan Derita Rakyat (Hindar) di Padang Merbok, di sini petang semalam.

Program membantah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) itu dianjurkan oleh Dewan Ulamak PAS Pusat.

Mohamad yang juga Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi NGO PAS Pusat turut memaklumkan himpunan membantah GST pada 1 Mei depan.

Turut berucap pada sesi sebelah malam ialah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Ustaz Ahmad sebelum itu mengimami solat Maghrib sementara solat hajat dipimpin oleh AJK Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik. - HARAKAHDAILY 12/4/2015

Share on Myspace