Mudah sangat label seorang 'terrorist' - Dr Asri

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kehadiran Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di Masjid Tok Guru di Pulau Melaka membuatkan segenap ruang penuh dengan orang ramai.

Belum pernah seorang mufti bertandang ke masjid milik Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi menyampaikan kuliah agama.

Namun tradisi itu dipecahkan Mufti Perlis, yang juga kenalan rapat anak Tok Guru, Nik Omar. Beliau merupakan Mudir Maahad Darul Anwar.

Beberapa kamera video merakam kuliah Mohd Asri dan orang ramai yang hadir.  

Pada 19 Febuari lalu, seminggu selepas Tok Guru pergi mengadap Ilahi, ribuan membanjiri Masjid Pulau Melaka mengikuti kuliah Maghrib disampaikan Ustaz Azhar Idrus.

Kehadiran melimpah sehingga ke ruang parkir kenderaan.

Katanya, beliau tidak sempat hadir pada hari pengkebumian Tok Guru kerana ada urusan lain di Perlis.

“Bagaimanapun saya mengarahkan semua masjid di Perlis mengadakan solat ghaib untuk Tok Guru selepas menunaikan solat Jumaat,” katanya pada program berkenaan malam semalam.

Menurutnya juga beliau pernah mengikuti kuliah Tok Guru di Dewan Zulkifli Mohamad Pejabat Perhubungan PAS Kelantan ketika belajar di Nilam Puri suatu ketika dahulu.

Mengulas isu semasa yang berlaku sekarang Mohd Asri menyifatkan kerajaan begitu mudah melabel seseorang sebagai pengganas biar pun mereka hanya memakai kopiah.

“Tangkap orang yang dituduh terrorist cepat sangat tetapi menangkap orang yang terbabit dengan kes jenayah lambat pula,” katanya. - HARAKAHDAILY 12/4/2015

Share on Myspace