Muslimat PAS bina rumah bantu mangsa banjir

MIJIE YUSOF | .

KUALA KRAI: Muslimat PAS Pusat menyifatkan cara Umno dan PAS membantu mangsa-mangsa banjir cukup berbeza.

Ketuanya Siti Zailah Mohd Yusof berkata setiap bantuan banjir yang disumbang Umno dipastikan ditayang di televisyen dan disiar media cetak.

“Contoh yang jelas ketika banjir melanda Rantau Panjang akhir tahun lepas, Umno hanya mengagih bantuan beras kepada 20 keluarga mangsa banjir sahaja.

“Sedangkan penduduk yang mengalami nasib sama 200 keluarga,” katanya pada pelancaran projek Rumah Mawaddah kepada mangsa banjir di Kampung Manek Urai Lama di sini semalam.

Rumah tersebut disumbang Dewan Muslimat PAS Pusat, Dewan Muslimat PAS Kelantan dengan kerjasama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma), Muslimat Medical Team dan RSF Puncak Mahligai Enterprise.

Hadir sama Naib Ketua Muslimat PAS Pusat, Mumtaz Mohd Nawi, Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah, Adun Mengkebang, Abdul Latif Abdul Rahman, Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim dan anggota jawatankuasa Muslimat PAS Kelantan.

Rumah tersebut dibina RSF Puncak Mahligai Enterprise membabitkan kos RM30,000 di Kampung Manek Urai Baru. Solat hajat juga diadakan di tapak berkenaan.

Siti Zailah berkata Dewan Muslimat PAS Pusat dan negeri akan membina lima rumah Mawaddah kepada mangsa banjir yang musnah sama sekali kediaman mereka akibat banjir akhir tahun lepas di Kuala Krai.

Mumtaz menjelaskan pihaknya berusaha mencari dana bagi membina lebih 10 rumah Mawaddah kepada mangsa banjir di Kelantan.

Abdul Latif yang juga Yang Dipertua PAS Kuala Krai berkata sehingga sekarang sebanyak 117 rumah kekal mangsa banjir dibina di kawasan parlimen Kuala Krai.

“Data tersebut diberi Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai, tetapi mengapa pula Umno mendakwa lebih 400 rumah dibina kerajaan pusat di Kuala Krai.

“Sepatutnya mereka tidak perlu terlalu ghairah sehingga memberi angka yang besar sehingga mengelirukan mangsa banjir di sini,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 12/4/2015

Share on Myspace