Kutuk hukuman mati ke atas aktivis revolusi Mesir

NASRUDIN HASSAN | .

SELURUH pencinta keadilan dan kebenaran di Malaysia harus mengutuk keputusan kehakiman politik Mahkamah Mesir yang telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Dr. Mohammed Badie dan aktivis-aktivis ‘Revolusi 25 Januari 2011’ kelmarin.

Mereka semua dituduh sebagai pengganas dan perancang utama revolusi akibat daripada tindakan pihak junta menggulingkan pemerintahan sah Mohamed Morsi pada bulan Julai 2013 yang lalu. Ia dianggap satu pembalasan dendam Abdel Fattah As-Sisi setelah hampir setahun menjadi ‘Presiden Haram’ Mesir.

As-Sisi telah melafazkan ikrar bulan Jun tahun lalu untuk mengheret dan menghukum pemimpin-pemimpin revolusi kerana bertindak ganas. Malah, pertubuhan Ikhwanul Muslimin turut diharamkan dan pejabat-pejabat operasinya disita.

Sebenarnya, As-Sisi adalah dalang keganasan yang sebenar! Dia yang merancang kejatuhan Morsi dan membunuh rakyat yang berarak menuntut keadilan dan kebebasan Mesir.

Seluruh dunia telah menyaksikan kezaliman yang dilakukan oleh ketumbukan tenteranya khusus di kawasan Rabi’ah Adawiyyah dan Dataran An-Nahda.

Saya juga turut menunggu respon daripada pihak Wisma Putra yang mewakili Kerajaan Malaysia atas keputusan politik Mahkamah Mesir ini.

Apakah pendirian mereka terhadap rejim Abdel Fattah As-Sisi dan dakwaannya terhadap pemimpin-pemimpin Ikhwanul Muslimin yang dianggap sebagai pengganas?

Ia akan memberikan implikasi khususnya ke atas Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan 2015 (Pota 2015) yang telah diluluskan di Dewan Rakyat minggu lalu.

Hal ini kerana definisi keganasan dan senarai organisasi pengganas masih tidak diperincikan secara jelas dalam RUU Pota 2015 berkenaan. – HARAKAHDAILY 13/4/2015

Share on Myspace