Jalan 12 kilometer, 12 tahun belum siap

FUAD NURHADI | .

PASIR PUTEH: “Tidak munasabah langsung jalan raya sejauh 12 kilometer dibina sejak 12 tahun lalu kini belum siap lagi.

"Kita sebagai rakyat yang membayar cukai berhak bertanya kenapa jalan sejauh itu begitu lama untuk disiapkan. Apakah faktornya,” kata ahli jawatankuasa Wanita MCA Pasir Puteh Lee Kim Yuan, 53.

Jalan pintas Pasir Puteh-Tok Bali dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bermula di Kampung Alor Pasir melalui Gong Kulim dan berakhir berhampiran Pelabuhan LKIM Tok Bali.

Ia merupakan projek kerajaan pusat sebagai sokongan kepada pembangunan di Tok Bali turut melibatkan pembinaan dua jambatan merentangi Terusan Semerak dan Sungai Semerak.

Kim Yuan yang juga seorang peniaga berkata jalan baru itu apabila siap kelak dapat memendek perjalanan dari bandar Pasir Puteh ke Tok Bali.

"Kita membayar cukai dan sekarang ditambah bebanan GST ingin tahu kenapa pembinaan jalan berkenaan terlalu lama untuk disiapkan,” katanya ketika ditemui di sini.

Penyelia Dun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata pihaknya memandang serius pembinaan jalan tersebut kerana terlalu lama untuk disiapkan.

Katanya pada penggal lalu beliau pernah membangkitkan isu jalan tersebut pada persidangan Dun Kelantan bagi menarik perhatian kerajaan pusat.

Malangnya kata beliau pembinaan masih perlahan dan difahamkan sudah beberapa kali bertukar kontraktor.

"Sepatutnya projek ini tidak terbantut kerana dibina kerajaan pusat yang mempunyai segala kemudahan dan kewangan.

“Sepatutnya pihak berkuasa termasuk SPRM menyiasat punca kelewatan tersebut kerana ia melibatkan wang rakyat,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 13/4/2015

Share on Myspace