Henti hubungan diplomatik dengan Mesir - Pemuda PAS

| .

 

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menyeru seluruh masyarakat dunia memutuskan segala hubungan diplomatik dengan kerajaan haram Mesir selagi lunas-lunas demokrasi tulen tidak ditegakkan dalam negara tersebut.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, seruan ini sebagai mengecam hukuman mati ke atas Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Dr. Mohammed Badie dan aktivis-aktivis 'Revolusi 25 Januari 2011' oleh Mahkamah Mesir.

"Pemuda PAS melihat hukuman ini merupakan suatu penghinaan kepada sistem kehakiman moden apabila Jeneral As-Sisi yang telah menyebabkan jenayah korban ribuan penduduk Mesir sewaktu merampas kuasa langsung tidak dihadapkan ke muka pengadilan sebaliknya Ihkwanul Muslimin yang menentang jenayah ini pula dijatuhkan hukuman mati," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hukuman ini adalah hukuman mati ketiga dijatuhkan ke atas Dr Mohammed Badie selepas mahkamah yang sama menjatuhkan hukuman mati terhadap beliau atas tuduhan membunuh dan merancang pembunuhan pada 30 Jun 2013, empat hari sebelum Presiden Mohammed Morsi disingkir. - HARAKAHDAILY 13/4/2015

Share on Myspace