PAS Permatang Pauh bantu jentera PKR

MOHD SABRI SAID | .

PERMATANG PAUH: Ketua Penerangan PAS Permatang Pauh, Jamsari Abdul Samad memberi jaminan akan membantu jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memastikan kemenangan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh yang ditetapkan pada 7 Mei depan.

Menurutnya, Umno BN begitu bersungguh mahu merampas atau mengurangkan majoriti yang diperolehi Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi kerusi parlimen itu pada PRU13 lalu.

"Umno jangan bermimpi di siang hari untuk kami (PAS) bekerjasama dengan Umno dan BN. Mereka sah penzalim dan penindas rakyat.

"PAS sudah buat keputusan akan bersama PAS negeri membantu jentera PRK untuk mempertahankan kerusi Pakatan Rakyat," tegasnya ketika dihubungi.

Katanya, keputusan tersebut juga selari dengan apa yang dipertegaskan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sebelum ini.

Menruutnya, semasa pertemuan dengan semua ketua dan setiausaha PAS cawangan di Dewan Haji Yusof Rawa Kampung Sama Gagah sekali lagi saranan itu disuarakan demi memperkukuhkan ikatan dalam Pakatan Rakyat.

"Insya Allah kami akan bantu dengan harapan jangan pula ada kalangan pimpinan PKR terus keluarkan kenyataan penghinaan berhubung hudud kerana Permatang Pauh terkenal dengan majlis ilmu," ujarnya.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) telah menetapkan penamaan calon PRK Permatang Pauh pada 25 April, pengundian awal 3 Mei manakala pengundian biasa pada 7 Mei.

PRK Permatang Pauh perlu diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu yang menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan ketua pembangkang itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Pada PRU13 lalu, Anwar yang bertanding atas tiket PKR menang kerusi Parlimen Permatang Pauh setelah mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mazlan Ismail dan calon Bebas Abdullah Zawawi Samsudin dengan majoriti 11,721 undi. - HARAKAHDAILY 13/4/2015

Share on Myspace