PRK Rompin: PAS umum calon 20 April

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS Pusat memutuskan akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin dan dalam masa yang sama PAS turut bersetuju membantu calon PKR di Permatang Pauh.

Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang diadakan hari ini di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, keputusan untuk bertanding di P.091 kerana calon bagi kerusi Rompin adalah daripada PAS.

Mesyuarat itu juga telah melantik Naib Presiden yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Pengarah PRK Rompin.

"Untuk di Permatang Pauh kita akan membantu calon PKR yang akan diketuai oleh Timbalan Presiden Mohamad Sabu," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurut Mohamad yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, PAS akan menyokong sesiapa sahaja calon PKR yang akan bertanding di Permatang Pauh pada 7 Mei ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim memaklumkan bahawa pengisyitiharan calon PAS PRK Rompin diadakan di Muadzam pada 20 April ini.

PRK Rompin akan diadakan pada 5 Mei ini manakala Permatang Pauh akan berlangsung pada 7 Mei. Kedua-dua PRK ini akan berlangsung pada hari bekerja.

PRK Rompin perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, 4 April lalu.

Pada PRU13 Mei 2013 lalu, Jamaluddin mengekalkan kerusi kawasan tersebut yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mendapat 30,040 undi sementara calon PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh memperolehi 14,926 undi. - HARAKAHDAILY 13/4/2015

Share on Myspace