Hukuman mati: Rejim Al-Sisi salah guna kuasa melampau

HARAKAHDAILY | .

Kami mengecam hukuman mati oleh Mahkamah di Mesir ke atas Mohamed Badie, pemimpin Ikhwan Muslimin pada 11 April 2015.

Rejim Mesir yang melaksanakan perbicaraan yang bersifat superfisial ke atas pegerakan itu sejak rampasan kuasa 2013 yang lalu bertujuan untuk menghapuskan semua pemimpin Ikhwan. Dengan dakwaan yang direka, kononnya mereka  terlibat "menghasut untuk menimbulkan kekecohan dan keganasan", anggota Ikhwan kini sedang disasar untuk dihukum dengan menyalahgunakan undang-undang dan prosedur mahkamah oleh rejim Al-Sisi.

Hukuman penjara seumur hidup juga dikenakan ke atas seorang yang mempunyai dwi kerakyatan iaitu Mesir dan AS kerana didakwa mempunyai hubungan dengan Ikhwan.

Perbicaraan massa ke atas pergerakan Ikhwan oleh Mahkamah Mesir telah dikritik dengan keras oleh pemerhati antarabangsa dan juga pergerakan perlindungan hak manusia. Kritikan antarabangsa terhadap sistem kehakiman dan rekod hak manusia Mesir yang buruk telah banyak didedahkan.

Kami melihat penerusan menghukum anggota Ikhwan di zaman Al Sisi adalah lebih buruk berbanding era Mubarak. Menjatuhkan seorang presiden yang dipilih oleh rakyat melalui rampasan kuasa militari telah membenarkan rejim itu membunuh dangan rambang siapa sahaja  memprotes kudeta tersebut.

Kini presiden Mesir sedang menindas siapa sahaja yang mengkritik rejimnya melalui undang-undang secara paling ekstrem apabila hukuman bunuh dijatuhkan secara beramai-ramai  ke atas ratusan yang didakwa. Tidak ada saksi dan peguam pembela yang hadhir ketika hukuman dijatuhkan.

Kami terkejut dengan hukuman ke atas anggota Ikhwan yang dikelompokkan ke dalam satu dakwaan kesalahan yang sama.

Kami mengecam pendirian Fatah Al-Sisi yang mengketagorikan Ikhwan sebagai ancaman keselamatan paling utama dan beliau mengumumkan untuk menghapuskan kumpulan itu walaupun Ikhwan telah menafi dan mengisytiharkan mereka komited kepada jalan keamanan dan tidak terlibat dengan keganasan pasca rampasan kuasa.

Protes yang meluas di Mesir yang dicatur oleh militari untuk menjatuhkan Dr Morsi adalah perancangan tentera sendiri. Al-Sisi yang telah mengarahkan layanan ganas ke atas rakyat awam bila mereka turun ke jalan raya memprotes Al-Sisi untuk menuntut keadilan dan pembebasan.

Kami mengutuk hukuman yang sangat keterlaluan ke atas Mohamed Soltan yang mempunyai dwi kewarganegaraan AS dan Mesir dan dituduh menyokong Ikhwan, padahal beliau hanya seorang petugas keamanan dalam pelbagai acara keamanan dan aktiviti kebajikan.

Kami tegas menyatakan pendirian kami bahawa rejim Mesir telah menyalahgunakan kuasa secara melampau.  Muhammad Badie telah dijatuhkan hukuman mati bukan sekali malah sudah beberapa kali Timbalannya Khairat El-Shater telah diberi hukuman seumur hidup pada hari Sabtu sebelumnya.

Sementera pembunuhan beramai-ramai ke atas protes rakyat di medan Rabaa pada 2013 di mana ratusan rakyat awam terbunuh ternyata rejim Al Sisi tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyiasat.

Al Sisi kini sedang memanipulasi rasional untuk mewujudkan kestabilan dengan menghapus semua yang cuba menentang rejimnya dengan cara yang brutal.

Kami mengutuk AS yang mengambil keputusan meneruskan kembali bantuan ketenteraan keatas di Kaherah. Jelas beliau telah membunuh demokrasi sejak Morsi dijatuhkan. Keputusan ini jelas mendedahkan hipokrasi Mesir. AS tidak ada asas moral untuk berbicara soal hak manusia dan demokrasi. Mesir terus menjadi rakan rapat dengan AS dan Mesir telah menunaikan agenda Rumah Putih AS yang mahu Ikhwan dihapuskan.

Kami mendesak semua gerakan Islam bersatu menyokong gerakan sivil Mesir untuk menuntut Mesir mengembalikan demokrasi yang sebenar. Mesir mesti dihentikan dari meneruskan demokrasi palsunya yang mengguna militari memerintah negara itu.

Kami mendesak hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Mohammad Badie dibatalkan dan beliau dibebaskan serta merta. Semua dakwaan ke atasnya mesti dibuktikan dalam perbicaraan yang adil, bukan dalam mahkamah yang dimanipulasi oleh kerajaan Mesir.

Kami mengesa pihak berkuasa Mesir membebaskan semua tahanan politik dan menghentikan penindasan ke atas gerakan Ikhwan Muslimin. - HARAKAHDAILY 13/4/2015

Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura)

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim)

Share on Myspace