Permatang Pauh: Pelancaran jentera PKR, PR malam ini

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Majlis Pelancaran Jentera PKR dan Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh akan diadakan pada jam 8.30 malam ini.
 
Menurut Ketua Penerangan PKR Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin, majlis itu diadakan di Dataran Rakyat Guar Perahu iaitu bersebelahan Pusat Khidmat Parlimen Permatang Pauh, Jalan Taman Guar Perahu.

Beliau berkata, PKR maklum tentang pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai PRK itu yang akan bermula dengan penamaan calon pada 25 April ini, pengundian awal pada 3 Mei dan hari mengundi pada 7 Mei.

"Kerusi Parlimen Permatang Pauh adalah kubu terpenting untuk perjuangan kami selama ini," ujarnya yang juga Exco Kerajaan Pulau Pinang dalam satu kenyataan.

Tambahnya, selain menjadi kerusi parlimen kepada Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Permatang Pauh adalah nama yang dipilih untuk disematkan kepada Deklarasi Permatang Pauh, gagasan besar kepada perjuangan Reformasi dan PKR.

Justeru, ujarnya PRK Permatang Pauh sangat penting dalam usaha meneruskan agenda Reformasi dan masa yang sama memberi mesej jelas bahawa segala bentuk kezaliman, kepincangan, penyelewengan dan salahguna kuasa oleh Umno dan Barisan Nasional ditentang.

Katanya lagi, kemenangan di dalam PRK itu menjadi bukti bahawa rakyat menolak dan mengecam pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dipilih sebelum ini secara sah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. - HARAKAHDAILY 14/4/2015

Share on Myspace