Penyelesaian terbaik debat terbuka Najib-Mahathir

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan persoalan yang ditimbulkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya akan selesai melalui debat terbuka.

Beliau ketika dihubungi berkata, kebimbangan yang disuarakan Dr Mahathir adalah perkara yang serius dan perlu ketahui oleh rakyat.

"Apa yang diutarakan oleh Dr Mahathir adalah perkara yang serius, apatah lagi beliau merupakan seorang negarawan dan pernah memegang jawatan Perdana Menteri dalam tempoh yang lama.

"Penyelesaian yang terbaik untuk persoalan tersebut adalah debat terbuka, Najib perlu tampil mencabar Mahathir berdepan untuk beliau perjelaskan segala persoalan tersebut," katanya.

Beliau turut berpendapat, penjelasan yang diberikan Najib di televisyen sebelum ini tidak menjawab persoalan yang diberikan bekas Perdana Menteri itu.

"Rakyat tidak mendapat jawapan sebenar apa yang dipersoalkan sebelum ini dan apa yang dijelaskan Najib tidak selari dengan pertanyaan.

"Apa yang dapat diperkatakan rakyat, kerajaan gagal beri penjelasan secara menyeluruh terutamanya kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu serta kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB)." kata beliau lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut kecewa apabila Najib mengaitkan isu jambatan bengkok yang menyebabkan Dr Mahathir menyerang beliau.

"Najib tidak perlu mengalihkan isu, jambatan bengkok tidak ada kena mengena langsung dan apa yang dipersoalkan Dr Mahathir itu seluruh rakyat tahu, isu 1MDB dan Altantuya.

"Najib perlu berani nyatakan yang sebenar, tampil secara terbuka untuk berdepan dengan Dr Mahathir agar rakyat tidak terus tertipu," sambung beliau. – HARAKAHDAILY 14/4/2015

Share on Myspace