Jangan tandatangan TPPA - CAP, SAM

HARAKAHDAILY | .

KAMI merujuk kepada surat oleh Tan Sri Ramon Navaratnam, pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam Asli (Asli Center of Public Policy Studies) yang menyeru kerajaan Malaysia menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Kami kesal bahawa Ramon dan beberapa ahli komuniti perniagaan lain gagal untuk memahami implikasi serius bagi rakyat dan negara kita sekiranya menandatangani TPPA.

Beliau memberi amaran bahawa jika kita tidak menyertai TPPA akan ada "akibat buruk" – antaranya tidak ada akses kepada kawasan perdagangan bebas baru dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak lebih RM101 trilion; tidak dapat keluar daripada perangkap pendapatan sederhana; akan memberi kesan serius ke atas keupayaan untuk berinovasi, menarik pelaburan langsung asing, teknologi tinggi, pendapatan, pekerjaan dan kualiti hidup.

Individu yang tidak menganalisis teks TPP dengan terperinci mestilah pragmatik dan tidak menggesa kerajaan untuk menandatangani perjanjian ini. Paul Krugman, seorang pakar ekonomi yang merupakan pemenang Nobel telah menyatakan kes ekonomi untuk TPP adalah lemah, dan bukannya membawa masalah besar jikalau ia tidak dimeterai.
 
Artikel dalam Financial Times bertarikh 6 Oktober 2014 bertajuk Trade deals: Toxic Talks dengan tepat menyatakan “... Terdapat juga soalan yang sah mengenai banyak mana perjanjian pelaburan - dan klausa perlindungan pelabur - yang menarik pelabur asing. Baik Brazil mahupun China tidak mempunyai banyak perjanjian, namun kedua-dua negara ini telah menarik sejumlah besar pelaburan langsung asing (foreign direct investment)”.
 
Kami percaya bahawa “akibat buruk” akan berlaku sekiranya kita sertai TPPA dan bukannya kalau tidak sertainya atas sebab-sebab berikut. Beberapa negara besar di rantau ini seperti China, India dan Indonesia yang mempunyai jumlah besar populasi lebih 2.5 billion tidak terlibat dalam proses TPPA.  Seperti yang disarankan dalam laporan baru-baru ini oleh Khazanah, kita perlu beri tumpuan kepada usaha dalam memperkuatkan hubungan perdagangan kita dalam rantau ini dan bukan impikan pai TPPA di langit.
 
Kita perlu faham bahawa TPPA adalah untuk manfaat Syarikat Multi-nasional (Multi-national Corporations - MNC) dari negara-negara membangun. MNC dari Amerika Syarikat yang memulakan dan memandu perundingan TPP. Teks perjanjian itu telah disediakan oleh pakar undang-undang mereka dan dirahsiakan, jauh daripada pandangan orang ramai kerana takut bantahan terhadapnya.

Walaupun ia dipanggil perjanjian "perdagangan bebas", TPP bukan semata-matanya mengenai perdagangan. Daripada 29 draf bab TPP, hanya lima yang berkaitan dengan isu-isu perdagangan tradisional.
 
Di Amerika Syarikat sendiri kerahsiaan menyelubungi TPPA telah dikritik kuat oleh pembuat dasarnya. Senator Sherrod Brown mengkritiknya dengan berkata: "Ini meneruskan tradisi Amerika di mana syarikat menulis perjanjian perdagangan, tidak berkongsi dengan sesiapa, dan kerap mengorbankan kepentingan pengguna, kesihatan awam dan pekerja"
 
Tujuan kembar TPPA adalah memudahkan penembusan pasaran oleh MNC yang berpotensi menjejaskan kepentingan ekonomi dan sosial kita dan menggalakkan kepentingan geo-politik Amerika Syarikat contohnya membendung China. Ia masih belum ditunjukkan kepada orang ramai apa faedah yang kita akan dapat daripada perjanjian yang akan mempunyai implikasi yang serius terhadap kesihatan awam, alam sekitar, dasar-dasar sosio-ekonomi dan kedaulatan negara.
 
TPPA memberi hak kepada pelabur korporat asing untuk menyaman kerajaan bagi tindakan yang melemahkan "jangkaan/harapan" dan menggugat perniagaan mereka. Harapan keuntungan perniagaan seharusnya bukanlah kebimbangan kerajaan tetapi pelabur yang patut mengambil risiko. Jika langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk melindungi dan menggalakkan kepentingan dan keperluan rakyatnya menjejas "jangkaan" keuntungan pelabur, mengapa mesti rakyat membayar pampasan untuk kerugian tersebut?
 
Dalam ideologi pasaran bebas, peniaga sepatutnya memikul risiko mereka. Peniaga tempatan menghadapi risiko tersebut tanpa bantuan kerajaan. Mengapa mesti syarikat asing besar dilindung daripada risiko perniagaan?
 
Beberapa dasar/undang-undang yang digubal kerajaan pada masa hadapan untuk melindungi alam sekitar, meningkatkan penjagaan kesihatan atau menggalakkan keadilan sosial boleh dicabar oleh MNC dan kita mungkin terpaksa membayar berbilion-bilion ringgit sebagai pampasan dan dasar/undang-undang itu dibatalkan. Mengapa kita perlu mengambil risiko ini?  Ada banyak contoh cabaran ini.
 
Di bawah perjanjian perdagangan Belanda-Republik Czech suatu syarikat pelaburan menyaman kerajaan Czech kerana gagal untuk menyelamatkan bank muflis di mana ia mempunyai kepentingan dan telah dianugerahkan pampasan sejumlah $238juta.

Philip Morris telah mendakwa Uruguay dan Australia kerana mengambil langkah-langkah untuk tidak menggalakkan merokok yang terbukti menyebabkan masalah kesihatan yang serius. Eli Lilly & Co, sebuah syarikat farmaseutikal global Amerika, mencabar di tribunal Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (Investor-State Dispute Settlement -ISDS) mengenai ketidaksahihan oleh mahkamah Kanada terhadap pelanjutan paten untuk kegunaan baru bagi dua ubat asalnya yang dibangunkan pada 1970-an.
 
Peruntukan ISDS membenarkan syarikat asing untuk mengemukakan tuntutan kepada penimbangtara swasta, bukan mahkamah tempatan, menentang kerajaan dengan dakwaan mengalami kesan buruk terhadap pelaburan mereka kerana tindakan yang diambil oleh kerajaan. Penimbangtara tersebut tidak bebas dan selain menjadi penimbangtara mereka juga mewakili syarikat-syarikat besar dalam tuntutan mereka.
 
Lebih daripada 100 sarjana undang-undang, dalam surat kepada Kongres Amerika Syarikat menyatakan: "ISDS mengancam kedaulatan negara dengan memberi kuasa kepada syarikat asing untuk memintas sistem mahkamah tempatan dan secara peribadi menguatkuasakan syarat perjanjian perdagangan. Ia melemahkan kedaulatan undang-undang dengan menghapuskan perlindungan prosedur sistem keadilan dan menggunakan sistem pengadilan yang  tidak jelas dan tidak boleh dikaji semula.

Kesan peruntukan perlindungan pelabur dalam TPPA adalah mengehadkan kuasa Parlimen untuk meluluskan undang-undang demi kepentingan rakyat dan perlindungan alam sekitar agar ia patuh kepada TPPA. Ia melanggar perlembagaan untuk membolehkan tribunal ISDS menindih undang-undang yang digubal oleh Parlimen. Ia seolah-olah menyerahkan kuasa veto legislatif kepada ISDS ke atas undang-undang yang digubal oleh Parlimen.

Pertubuhan masyarakat sivil di negara-negara lain yang merundingkan TPP juga telah menimbulkan kebimbangan mereka. Penilaian bebas  tentang kesan kesihatan daripada rundingan TPP yang dijalankan oleh ahli akademik Australia dan badan-badan bukan kerajaan, yang diterbitkan pada bulan Februari 2015, mendapati fasal ISDS akan membawa ancaman besar kepada dasar kesihatan [http://hiaconnect.edu.au/research-and-publications/tpp_hia/].
 
Kerajaan-kerajaan lain juga menentang  ISDS. Public Citizen yang berpusat di Amerika Syarikat telah mengumpulkan kenyataan rasmi kerajaan-kerajaan dan tindakan terhadap ISDS (http://www.citizen.org/documents/isds-quote-sheet.pdf).
 
Selain ISDS, terdapat banyak isu yang menimbulkan pertikaian dalam TPP seperti harta intelektual, piawaian alam sekitar dan tenaga kerja, peraturan kewangan, undang-undang hak cipta, perusahaan milik negara, perolehan kerajaan.
 
Kehidupan dan masa depan kita sedang dipertaruhkan dan kita tidak bersedia untuk membiarkan kerajaan menandatangani TPP bagi pihak kami tanpa menunjukkan isi kandungan perjanjian itu. Kami mengulangi panggilan kami kepada kerajaan untuk menarik diri daripada rundingan perjanjian TPP yang mana kosnya jauh melebihi faedah yang dikatakan. Jangan tandatangani TPPA. - HARAKAHDAILY 14/4/2015
 
S.M Mohamed Idris
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang & Sahabat Alam Malaysia

Share on Myspace