Dunia wajar kutuk rejim As-Sisi terhadap Ikhwan

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: PAS mengecam keputusan Mahkamah Jenayah Kaherah, Mesir yang menjatuhkan hukuman gantung terhadap Mursyidul Am Ikwanul Muslimin, Dr Muhammad Badie dan tiga belas yang lain.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata PAS mengutuk sekeras-kerasnya hukuman zalim, kejam serta tidak bertamadun yang dilakukan oleh pemerintah kudeta yang diketuai oleh Jeneral As-Sisi.

PAS, katanya menerima dengan pilu dan sedih keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Mesir.

"Di bawah pemerintahan As-Sisi, mereka menjatuhkan hukuman melalui Mahkamah Tentera yang telah membicarakan orang awam dan dinafikan hak perbicaraan secara adil.

"Masyarakat dari serata dunia sewajarnya mengutuk perbuatan zalim pada era demokrasi moden ini," katanya.

Jelasnya, institusi Mahkamah Mesir sudahpun kehilangan penghormatan dan maruahnya apabila ia menjadi alat rejim untuk menganiaya masyarakat awam khususnya pemimpin gerakan Ikhwanul Muslimin.

"Pertubuhan Hak Asasi turut menyuarakan bantahan mereka atas tindakan kejam rejim ini terhadap para peserta demonstrasi yang telah ramai ditahan dan dibicarakan di Mahkamah Tentera.

"Hakikatnya, rejim As-Sisi ini tidak pun mendapat sokongan umum melainkan golongan tentera. Kami mendesak agar kuasa diberikan kembali kepada rakyat Mesir untuk memilih mereka yang benar-benar layak untuk menjadi kerajaan melalui kaedah demokrasi yang adil, telus dan terbuka," tambah beliau lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan-badan antarabangsa yang lain untuk memberikan tekanan kepada rejim Mesir bagi membatalkan hukuman mati terhadap Dr Badie dan semua ahli Ikhwan yang lain dan juga menuntut pembebasan semua tahanan politik semenjak berlakunya rampasan kuasa pada tahun 2013.

Tambah beliau, PAS juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama mendoakan agar demokrasi di Mesir dapat dipulihkan kembali serta pembebasan semua tahanan politik yang dipenjarakan rejim As-Sisi.

"Kita tetap menyatakan solidariti kebersamaan seiring dengan rakyat Mesir yang mengharapkan keadilan dan kebenaran ditegakkan semula di bumi Mesir," sambung beliau lagi.

Pada 11 April lalu, Mahkamah Jenayah Kaherah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap empat pemimpin Ikhwan Muslimin, manakala empat belas lagi dihukum penjara seumur hidup, berikutan keganasan yang dikatakan berlaku pada 2013.

Mereka dikatakan terbabit dalam pertempuran pada 30 Jun 2013, empat hari sebelum Presiden Mohammed Morsi disingkir, yang menyebabkan 9 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera.

Mereka dituduh membunuh dan merancang pembunuhan peserta demonstrasi yang berhimpun di hadapan ibu pejabat Ikhwan Muslimin di Bukit Muqattam. - HARAKAHDAILY 14/4/2015

Share on Myspace