Setpol baru MB guna pengalaman di Yik

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Wan Ruslan Wan Hamat,49 menggunakan pengalamannya sebagai pegawai di Yayasan Islam Kelantan (Yik) bagi meneruskan tugas baru sebagai Setiausaha Politik (Setpol) Menteri Besar.

Sebelum ini bermula 16 Disember 2013 beliau dipinjamkan ke Menteri Besar sebagai Pegawai Khas.

Mulai mengajar di sekolah Yik pada 1994 selepas mendapat Diploma Pendidikan di UIAM. Sekolah pertama Maahad Pengajian Islam.

Pada 1995 dilantik sebagai Guru Besar di SMU (Arab) Taqadum Maarif. Selepas berjaya menjulang sekolah berkenaan pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah pada 1997 ditukar sebagai Penolong Kanan di Maahad Muhammadi Perempuan.

Dan pada 1999 dilantik sebagai Pengetua Maahad Muhammadi Lelaki menggantikan Ustaz Nik Razi Nik Mat, adik kepada arwah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kemudian pada 2004 dipindah ke Pejabat Yik di Nilam Puri sebagai Penolong Pengarah Kenaziran. Jawatan terakhir sebagai Penolong Pengarah Perkhidmatan Guru.

Wan Ruslan dilantik sebagai Setpol menggantikan Dr Wan Nik Wan Yussof yang ditukar ke Pusat Kajian Strategik sebagai pengarah.

Beliau dilahirkan di Kampung Wakaf Raja, Pasir Puteh. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja. Peringkat menengah di Sekolah Menengah Ugama (SMU)(Arab) Nurul Huda dan Mahaad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu.

Kemudian melanjut pengajian dalam bidang Usuluddin dan minor Sains Politik di Universiti Malaya.

Wan Ruslan yang juga bekas Ketua Pemuda PAS Pasir Mas, sekarang dilantik bendahari PAS Tumpat. Pernah menerajui Markas Siswazah Kelantan pada 2001-2003.

Sementara itu awal tahun ini kerajaan negeri juga melantik tiga Penyelia Dun baru iaitu Suhaimi Mat Deris (Dun Galas), Ramlan Mat (Kuala Balah) dan Mohamad Deraman (Pengkalan Kubor). - HARAKAHDAILY 15/4/2015

Share on Myspace