Peniaga kecil, pengguna jadi mangsa GST

MUHAMMAD YUSRI AMIN | .

KOTA BHARU: Peniaga kecil dan pengguna dianggap menjadi mangsa kepada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikuatkuasa kerajaan sejak 1 April lalu.

“Peniaga kecil dan pengguna terpaksa menanggung risiko paling besar kesan GST,” kata Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Bumiputra Pasar Besar Siti Khadijah, Ahmad Nazri Che Omar.

Sebaliknya kata beliau peniaga besar yang berdaftar dengan Jabatan Kastam mendapat keuntungan berganda kerana sebelum GST mereka sudah menaikkan harga barang.

Beliau berkata peniaga terbabit terutamanya syarikat besar biar pun dikenakan GST sebanyak 6 peratus namun mereka boleh menuntut semula bayaran daripada kerajaan.

“Mereka boleh claim semula dengan kerajaan. Sebelum GST mereka sudah menaikkan harga jualan. Tetapi peniaga kecil tidak boleh claim apa-apa.

“Kami terpaksa menanggung GST yang dikenakan peniaga besar. Kami juga

terpaksa serap GST kerana tidak berdaftar dengan kerajaan.

“Kalau kenakan harga tinggi akan dikenakan denda. Peniaga kecil seperti kami tidak layak untuk berdaftar dengan Kastam kerana pendapatan bawah

RM500,000 setahun,” ujarnya.

Tahun lepas kerajaan BN mengarah perniaga yang mendapat pulangan jualan tahunan lebih RM500,000 perlu mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Ahmad Nazri berkata peniaga runcit terpaksa menanggung kos kenaikan harga barangan yang dikenakan pemborong selepas GST diperkenalkan.

Kata beliau setiap barang yang dibeli berlaku kenaikan sehingga RM1.

Oleh itu katanya GST tidak memberi keadilan peniaga kecil dan pengguna kerana mereka terpaksa menanggung harga mahal selepas pemborong mengenakan GST.

“Sejak pelaksanaan GST perniagaan kami merosot. Tidak ramai lagi pelanggan yang datang. Hampir di semua tempat lengang,” ujarnya.

Sumber industri pula memberitahu kebanyakan pasar raya mengenakan harga baru sejak Januari lepas, sebelum penguatkuasaan GST.

Katanya pasar raya sekarang mendapat keuntungan berganda apabila mengenakan GST kepada pelanggan dan menuntut pula bayaran balik daripada kerajaan. - HARAKAHDAILY 15/4/2015

Share on Myspace