KWSP 60: Apakah nasib rakyat terbela?

JOFRI JARAIEE | .

BARU-baru ini kita dihebohkan dengan kenyataan dari Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Shahril Ridza Ridzuan yang mengatakan akan menimbang penyelarasan umur pengeluaran simpanan persaraan ahlinya kepada usia persaraan 60 tahun.
 
Beliau berkata, negara perlu menangani isu pengeluaran simpanan pada usia 55 tahun berbanding usia persaraan baharu pada 60 tahun, jika tidak ia akan menjadi bebanan kepada masyarakat untuk menguruskan orang-orang yang bersara tanpa wang yang mencukupi dalam akaun mereka.
 
Shahril memetik kaji selidik bebas yang dijalankan oleh pakar ekonomi serta penyelidikan dalaman KWSP yang menunjukkan rata-rata orang cenderung untuk menghabiskan simpanan persaraan mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas membuat pengeluaran penuh.
 
Kita amat tidak setuju dengan cara pihak KWSP menguruskan wang pekerja yang akan bersara kerana bukan semua daripada kalangan pesara akan menghabiskan wang mereka seperti dalam tempoh yang tersebut.  Ada dalam kalangan mereka amat memerlukan wang KWSP untuk pembelanjaan harian dan juga untuk tujuan perubatan dan sebagainya setelah mereka bersara seawal umur 55 tahun.
 
Setelah mereka menamatkan perkhidmatan dengan sebuah syarikat, pihak syarikat tidak akan menanggung lagi bayaran perubatan mereka maka kalau ada dalam kalangan mereka yang bersara awal atau ketika berumur 55 tahun sudah tentu akan jadi masalah sekiranya KWSP menyekat pengeluaran wang mereka dalam KWSP.
 
Antara lain, kalau pihak kerajaan meluluskan cadangan KWSP kemungkinan besar ada yang akan bersara dalam usia 55 tahun terpaksa menunggu lagi untuk pengeluaran wang mereka.
 
Apakah jaminan dari pihak KWSP atau kerajaan hendak menyara kehidupan harian mereka setelah mereka bersara seawal umur 55 tahun sekiranya mereka tidak mempunyai pekerjaan dan tidak dibenarkan mengeluarkan wang simpanan mereka sehingga berumur 60 tahun?
 
Pihak KWSP perlu ingat bukan semua syarikat swasta akan menyambung semula perkhidmatan pekerjanya sehingga berumur 60 tahun kecuali mereka yang mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang.
 
Pihak KWSP juga perlu memikir mereka yang bersara awal sebelum 55 tahun juga perlukan wang setelah mereka tidak bekerja. Pihak KWSP sudah tentu tidak akan dapat memberi jaminan yang pesara berumur 60 tahun dapat menikmati hasil simpanan mereka sekiranya mereka meninggal dunia lebih awal sebelum berumur 60 tahun.
 
Umur 50 dan 55 tahun memang sudah dianggap sesuai untuk bersara dan mengeluarkan simpanan mereka sekiranya mereka amat memerlukannya. Seperti kegunaan membayar yuran persekolahan anak-anak mereka ke pengajian tinggi, untuk perubatan dan sebagainya.
 
Berilah peluang kepada golongan muda yang masih ramai menganggur bekerja kerana sekiranya terlalu ramai golongan yang berumur  masih  bekerja sampai umur 60 tahun maka peluang untuk genarasi muda untuk mendapat pekerjaan semakin sukar.
 
Memandangkan kos kehidupan yang semakin meningkat dengan adanya GST serta kenaikan harga minyak yang tidak menentu, nasib para pesara yang belum sampai umur 60 tahun akan bertambah sukar sekiranya mereka tidak bekerja serta tidak dapat mengeluarkan wang simpanan mereka dalam KWSP. Mereka perlu memikirkan masa depan anak-anak mereka yang masih bersekolah, kesihatan mereka juga perlu diberi perhatian.
 
Adakah pihak kerajaan hanya tahu menyuruh mereka berbelanja secara berhemat sedangkan wang simpanan mereka hanya cukup-cukup makan dan untuk bayar bil, belanja harian serta membeli lain-lain barang keperluan yang semakin meningkat.
 
Persoalannya mengapa tiba-tiba saja pihak KWSP hendak menyekat hak pengeluaran para penyimpan dalam KWSP yang sepatutnya mereka yang berhak untuk menyimpan atau hendak mengeluarkan wang KWSP pada bila-bila masa tanpa perlu menunggu sampai umur 60 tahun.
 
Adakah KWSP sudah kekurangan wang untuk membayar balik wang simpanan pekerja atau untuk kegunaan sesuatu atau ada lain-lain agenda yang rakyat dan pekerja perlu tahu?
 
Kita ingin memberi cadangan kepada pihak KWSP untuk  memberi skim pelaburan khas kepada pesara agar wang caruman mereka akan terus meningkat dan hasilnya akan terus mereka nikmati selepas mereka bersara awal.
 
Dengan pendapatan hasil pelaburan tersebut mereka boleh gunakan sepenuhnya atau separuh daripada keuntungan pelaburan mereka sehingga mereka mencapai umur yang ditetapkan oleh pihak KWSP tanpa menganggu caruman mereka. Pencarum juga boleh diberi pilihan sama ada mengeluarkan sepenuhnya atau sebahagian dari caruman mereka setelah mencapai umur 55 tahun.
 
Kita sekali lagi mengesa pihak kerajaan meneliti benar-benar akan cadangan pihak KWSP ini agar ia tidak akan membebankan para pesara awal dari umur 60 tahun seperti yang dicadangkan. Kerjasama dengan pihak kerajaan dan KWSP untuk mengkaji semula serta meniliti cadangan ini dengan sewajarnya amat dihargai. – HARAKAHDAILY 15/4/2015

Share on Myspace