MH370: Carian dalam air mungkin selesai Mei

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Pencarian dalam air pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 di kawasan terpencil di Lautan Hindi, mungkin akan diselesaikan pada Mei.
    
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia yang menyelia operasi pencarian, dalam satu kenyataan memaklumkan buat masa ini, lebih 60 peratus daripada kawasan carian telah diterokai.
    
Bagaimanapun, menurut JACC, sasaran itu dibuat dengan harapan agar tidak berlaku kelewatan melibatkan keadaan kapal, peralatan dan cuaca.
    
"Kerja-kerja kami akan terus dijalankan secara menyeluruh dan teratur, jadi kadang kala kemajuan setiap minggu mungkin kelihatan lambat.
    
"Kami akan pastikan bahawa kerja-kerja akan berterusan dan menyasar untuk mencari MH370 secepat mungkin," menurut JACC.
    
Sementara itu, JACC berkata kapal yang disewa oleh Malaysia-Australia, Fugro Discovery kini berada di kawasan carian dan sedang menjalankan operasi mencari dalam air meskipun mengalami sedikit 'gangguan' disebabkan kabel bekalan kuasa pada hari kedua berada di lokasi.
    
"Masalah ini telah diatasi dan operasi mencari disambung semula pada malam 12 April," katanya.
    
Dalam pada itu, kapal GO Pheonix dan Fugro Equator, dijangka tiba esok dari Pelabuhan Fremantle, menurut JACC.
    
Kapal lain, Fugro Equator dijangka tiba pada Jumaat (16 April) dan jika cuaca baik, kapal berkenaan akan menjalani ujian kalibrasi sambil bergerak ke kawasan carian.
    
"Keadaan laut dalam kawasan utama carian dijangka antara dua hingga enam dalam minggu depan. Sisa siklon luar Tropika Joalane kemungkinan boleh merentasi kawasan carian dalam beberapa hari lagi," katanya.

Penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac tahun lalu semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal.
    
Pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemui, walaupun selepas carian menyeluruh selatan Lautan Hindi selepas ia dipercayai telah tersasar daripada haluannya.
    
Pada 29 Jan tahun ini, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia mengumumkan bahawa kehilangan pesawat MH370 itu sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan semua 239 penumpang dan anak kapal dianggap terkorban. - BERNAMA

Share on Myspace