Mangsa banjir duduki rumah sebelum Aidifitri

MOHD NOR YAHYA | .

KOTA BHARU: Kerajaan negeri memberi jaminan mangsa banjir dapat menduduki rumah kekal yang dibina sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, sehingga kini terdapat tujuh tapak dikenal pasti bagi membina rumah kekal tersebut kepada mangsa banjir.

“Alhamdulillah kita juga telah ada tapak seluas 57.7 ekar di Kampung Enggong Chenulang, Kuala Krai yang boleh memuatkan lebih 400 rumah,” katanya selepas mesyuarat Exco hari ini.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Mac lepas kerajaan negeri juga memberitahu mengenal pasti kawasan seluas 20 ekar di Telekong, Kuala Krai bagi membina rumah kekal mangsa yang tidak mempunyai tanah sendiri.

Mengikut Jawatankuasa Bersama Banjir Negeri Kelantan terdapat sebanyak 1,827 rumah musnah sepenuhnya akibat banjir besar.

Sebanyak 1,200 mangsa daripada jumlah itu tidak memiliki tapak rumah.

Rumah kekal yang siap dibina kerajaan negeri sekarang sebanyak 10 unit di Desa Rahmat Berangan Mek Nab, Machang dan 52 unit lagi akan dibina di tapak sama.

Selain itu 10 unit rumah kekal siap dibina di Kampung Kolam Mas, Gua Musang, manakala 8 unit lagi dalam pembinaan. Di kawasan lain yang sudah siap dibina di Kuala Pertang (5 unit), Guchil (5) dan Manjor (sebuah).

Pemuda PAS Pusat pula membina tiga rumah Budiman di Manek Urai, manakala Dewan Muslimat PAS pula merancang membina 5 rumah Mawaddah di Kuala Krai.

Mercy Malaysia pula menyiapkan 31 unit rumah transit di Jalan Gael, Kuala Krai.

Abdul Fattah berkata kerajaan negeri sentiasa komited dalam usaha membina rumah tersebut.

Beliau juga memberitahu kerajaan negeri tidak pernah melantik mana-mana agen untuk mengutip nama mangsa banjir bagi memiliki rumah tersebut.

Katanya senarai nama mangsa berdasar pendaftaran dibuat Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. - HARAKAHDAILY 15/4/2015

Share on Myspace