H1N1: Punca kematian murid lelaki tidak dapat disahkan

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Punca sebenar kematian murid lelaki berumur 10 tahun di Melaka tidak dapat disahkan kerana mangsa dijangkiti virus influenza A (H1N1) dan radang otak pada masa yang sama, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
   

Sambil menyifatkan kematian seorang pelajar tahun lima itu sebagai luar biasa, beliau berkata pihaknya tidak dapat memastikan punca sebenar kematian murid tersebut kerana tidak dapat melakukan pemeriksaan pada otaknya.

"Setakat ini, pengesahan mangsa menghidap H1N1 hanya berdasarkan pemeriksaan pada sampel yang diambil pada saluran pernafasan.

"Oleh itu, agak sukar bagi kami (kementerian) untuk mengesahkan sama ada radang otak yang dihadapi mangsa disebabkan oleh H1N1," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Murid lelaki yang didakwa dijangkiti virus H1N1 meninggal dunia kira-kira 12 tengah malam tadi. Sebelum ini, mangsa yang dikatakan dijangkiti virus H1N1 itu berada dalam keadaan koma dan dirawat di sebuah hospital swasta di Melaka.
        
Menurut Dr Subramaniam, doktor hospital swasta melakukan diagnosa kematian murid itu berpunca daripada 'viral encephalitis secondary to H1N1' dan kementerian perlu menerima punca itu buat masa sekarang.

"Kemungkinan besar budak itu boleh juga meninggal dunia akibat jangkitan radang otak. Tetapi, tiada pemeriksaan mengeluarkan cecair daripada saraf tunjang dilakukan untuk melihat sama ada H1N1 menyebabkan jangkitan ini.

"Sukar untuk mengesahkannya sekarang kerana tiada bedah siasat dilakukan pada tubuh murid itu. Pada peringkat ini, kami sudah hilang peluang untuk mengesahkan apakah punca sebenar kematiannya.

"Satu ujian melibatkan sampel cecair daripada saraf tunjang (antigen) murid itu mungkin dapat memberi jawapan punca sebenarnya," jelasnya.

Sehubungan itu, Dr Subramaniam mengingatkan orang ramai agar tidak panik dan sentiasa mengamalkan langkah-langkah mudah bagi mencegah penularan jangkitan influenza serta mengamalkan cara hidup sihat.
    
Katanya, tiada jumlah kes direkodkan kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia tidak lagi memantau jangkitan H1N1 secara khusus dan tiada keperluan untuk melaporkan kejadian kes kepada pertubuhan itu.

"Ini adalah kerana cara jangkitan, tanda-tanda jangkitan dan risiko untuk mendapatkan jangkitan dan komplikasi akibat H1N1 adalah serupa dengan influenza bermusim yang lain," katanya.

Bagaimanapun, Dr Subramaniam berkata kementerian sedang memantau lebih 300 klinik di seluruh negara berkaitan penyakit pernafasan setiap minggu, sekiranya berlaku peningkatan dalam penyakit itu, untuk menjalankan siasatan lanjutan.

Mengulas kes kematian seorang murid perempuan tahun satu di Johor Jumaat lepas yang dikatakan mungkin akibat penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), beliau berkata kementerian masih menunggu pengesahan punca daripada Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Sungai Buloh, Selangor.

"Kami tidak mahu membuat sebarang spekulasi. Tetapi kami minta sekolah atau ibu bapa untuk melaporkan kes sedemikian kepada pihak kesihatan secepat mungkin.

Saya juga tidak mahu rakyat panik tentang epidemik ini kerana secara am, ia tidak menyebabkan masalah besar," katanya.

Isnin lepas, Jabatan Kesihatan Johor mengesahkan murid berkenaan meninggal dunia akibat kejutan septik dengan kegagalan beberapa organ dalaman. - Bernama

Share on Myspace