Sempat ajar mengucap sebelum anak hanyut

HUSIN TAWANG | .

PASIR PUTEH: Seramai 23 nelayan dapat diselamatkan dalam tragedi bot karam di timur laut Tok Bali, pagi semalam. Bagaimanapun dua nelayan dipercayai masih hilang.

Mangsa Ahmad Anuar Ismail, 23, dan Ibrahim Kadir, 45, berasal dari Patani, Thailand. Mereka bekerja dengan pengusaha bot nelayan tempatan dari Besut, Terengganu.

Kesemua nelayan terbabit beragama Islam berumur antara 18 hingga 56 tahun, bot mereka dikesan tenggelam di kedudukan 14.5 batu nautika dari Tok Bali.

Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Tok Bali, Kapt Nurul Hizam Zakaria berkata, bot berkenaan karam setelah terlanggar batu ketika cuaca buruk dan hujan lebat.

"Bot mereka pecah dan tenggelam selepas terlanggar batu di perairan Pulau Perhentian Besar ketika dalam perjalanan pulang jam 4.30 pagi," katanya pada sidang media di Pejabat APMM Tok Bali di sini, hari ini.

Kapt Nurul berkata, pihaknya dibantu oleh agensi kerajaan lain termasuk pasukan Polis Marin sedang mencari mangsa yang hilang di sekitar 5 batu nautika dari tempat kejadian.

Menurutnya, 23 mangsa diselamatkan bot nelayan tempatan yang kebetulan berada tidak jauh dari tempat kejadian.

“Nelayan-nelayan terbabit berenang berjam-jam sambil berpaut kepada serpihan bot yang pecah,” ujarnya.

Mangsa yang selamat dibawa ke pangkalan APMM Tok Bali dan dihantar ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh bagi rawatan lanjut.

Sementara itu, tekong bot berkenaan Ismail Mohd Zin, 56, berkata, botnya mulai senget selepas terlanggar batu dan terus tenggelam menyebabkan kesemua awak-awaknya menyelamatkan diri dalam keadaan cuaca gelap.

Katanya, beliau bernasib baik kerana anaknya (Anuar) datang membantu membawa jaket keselamatan dan berkongsi dengannya.

"Namun tiba-tiba kami tenggelam kerana pelampung tidak mampu menampung dua orang. Anuar melepaskan saya dengan pelampung berkenaan dan dia terus hanyut.

"Saya terdengar Anuar memanggil ayah sebanyak tiga kali. Saya memintanya mengucap kemudian dia terus hilang," katanya sebak.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, Zulkifli Kadir, 35 berkata, kesemua nelayan berasal dari Kampung Lubang, Saiburi, Petani.

Katanya beliau bernasib baik kerana sempat bergantung kepada pelampung pukat sebelum diselamatkan.

Beliau juga terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan abangnya (Ibrahim) kerana arus deras. - HARAKAHDAILY 15/4/2015

Share on Myspace